Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengerusi Finas baru akan diumum dalam masa terdekat - Fahmi

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata pengerusi baru bagi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Untuk Finas, kita harap mungkin dalam masa terdekat dalam seminggu ni kerana penting bagi Finas perlu dilantik seorang pengerusi bagi jawatankuasa wajib tayang.

“Ini satu aspek yang penting dan Insya-Allah akan dipercepatkan,” katanya dalam sidang media di bilik media Parlimen hari ini.

Katanya, dia telah menandatangani surat pelantikan tersebut dan sedang menunggu ia diproses.

Pengerusi Finas sebelum ini, Zurainah Musa ditamatkan perkhidmatannya lebih awal susulan pertukaran kerajaan.

Pada 11 Dis tahun lalu, senator berkenaan mengesahkan penamatan khidmatnya sebagai peneraju agensi perfileman negara itu.

Zurainah memaklumkan tempoh perkhidmatannya dipendekkan oleh Fahmi selaku menteri dari tarikh yang sepatutnya pada 9 Jun 2024.

Sementara itu, Fahmi berkata pihaknya telah mengarahkan Cyber Security Malaysia (CSM) melakukan siasatan terhadap Laporan Ketua Audit Negara berhubung isu ketirisan data yang didakwa melibatkan akses 'super-admin' bagi aplikasi MySejahtera.

“Ini perkara penting dan saya rasa mungkin ramai yang merasa risau tapi saya percaya dalam pada masa sama pihak kerajaan, khususnya PDRM melakukan siasatan dan terpulang kepada agensi-agensi berkenaan untuk membuat apa-apa pengumuman,” katanya.

Baru-baru ini LKAN 2021 Siri 2 mendedahkan terdapat 1.12 juta cubaan memecah masuk aplikasi berkenaan, sehingga tiga juta maklumat pengguna aplikasi MySejahtera telah diakses secara mencurigakan daripada akaun 'Super Admin'.

Dalam perkembangan lain Fahmi berkata Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia akan diumumkan pada 1 Mac.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS