Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) sedang berbincang dengan syarikat pengeluar kenderaan tempatan Proton dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) untuk mempercepatkan pengeluaran kenderaan elektrik nasional dan menawarkan pilihan kenderaan elektrik (EV) mampu milik, kata Menterinya Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Tengku Zafrul turut menegaskan pada masa yang sama garis panduan semasa permit import (AP) turut ditambah baik dengan memberikan fleksibiliti ke atas kuantiti maksimum pengimportan kenderaan secara yang dipasang sepenuhnya (CBU) bagi kajian pasaran prapemasangan (Market Research Pre-Assembly - MRA) untuk EV supaya syarikat-syarikat pemasangan tempatan lebih berpeluang menilai keperluan pasaran baru untuk segmen EV sebelum memulakan pengeluaran.
"Langkah penambahbaikan ini juga dijangka akan memberi lebih pilihan EV untuk ditawarkan dalam pasaran kepada rakyat," katanya pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat semalam.
Sementara itu, mengulas mengenai hala tuju Miti bagi mendepani tahun 2023 dalam aspek meningkatkan pelaburan strategik, penjanaan peluang pekerjaan dan pembangunan kluster perindustrian baru yang dibangkitkan ketika sesi perbahasan Dewan Rakyat, Tengku Zafrul berkata Miti telah memperkenalkan Dasar Pelaburan Baru berteraskan Aspirasi Pelaburan Nasional yang telah dilancarkan pada 6 Okt 2022 bagi mempercepatkan pertumbuhan jangka panjang Malaysia melalui pelaburan berkualiti yang mampan dalam bidang pertumbuhan baru.
"Bagi tempoh Januari sehingga September 2022, Malaysia telah menarik sejumlah RM193.7 bilion pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan, sektor perkhidmatan dan sektor utama yang melibatkan 2,786 projek dan dijangka mewujudkan 98,414 peluang pekerjaan di negara ini,” katanya.
Menjawab persoalan Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai pelaburan yang direkodkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Tengku Zafrul berkata secara umumnya, projek-projek yang diluluskan akan mengambil masa antara 12 hingga 24 bulan untuk dilaksanakan.
"Daripada jumlah pelaburan yang diluluskan tersebut, jumlah pelaburan yang direalisasikan adalah antara 75 peratus hingga 80 peratus dan kita harus memantau proses ini," katanya.
-Bernama