Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa memberi jaminan kementeriannya akan berusaha menyelesaikan beberapa isu berbangkit melibatkan pegawai perubatan di negara ini.
Ia termasuk isu buli yang membabitkan pegawai perubatan di hospital-hospital milik kerajaan.
Itu antara jaminan diberikan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam sesi dialog awam bersama para doktor di Putrajaya, hari ini.
Perkara itu turut dikongsikan doktor perubatan Hospital Melaka, Dr Mohamad Firdaus Omar yang ditemui pemberita selepas sesi dialog awam itu.
Menurut Dr Mohamad Firdaus, Dr Zaliha memberi jaminan isu buli itu akan ditangani segera.
"Secara keseluruhannya tidaklah dibincangkan secara spesifik isu yang berbangkit. Tetapi, ada beberapa isu yang menteri maklumkan boleh diselesaikan segera seperti isu buli dan ada isu yang perlukan ketetapan masa tertentu untuk diselesaikan,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Perubatan Siswazah (Kontrak), Dr Nurul Qashira Mohd Izlan berkata, pada sesi itu, Dr Zaliha turut menyatakan hasratnya bahawa sesi pemilihan doktor tetap akan dibuat lebih telus.
"Dr Zaliha memang dengar apa yang kami utarakan dan dia memang pendengar yang baik dan kami dimaklumkan bahawa KKM akan memperketatkan pemilihan doktor tetap dalam kalangan doktor bagi mengelak lantikan yang tidak layak,” katanya.
Menurut Dr Nurul Qashira, isu lambakan doktor kontrak juga turut disentuh pada sesi dialog awam itu.
Bagaimanapun, katanya dia dimaklumkan bahawa kelulusan perjawatan perlu mendapat kebenaran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Tingkatkan kemudahan hospital kerajaan
Dalam pada itu, Dr B Abirami, doktor kontrak dari Hospital Shah Alam berkata, antara isu utama dikemukakan pada pertemuan itu termasuk meningkatkan kemudahan di hospital kerajaan.
“Bagaimanapun, KKM memaklumkan untuk meningkatkan kemudahan hospital bergantung kepada pembentangan bajet.
“Jadi, kami sangat berharap belanjawan yang akan dibentangkan Jumaat ini akan membawa khabar gembira kepada sektor kesihatan negara,” katanya.
Manakala dalam maklum balas segera Gerakan Hartal Doktor Kontrak (HDK) pula menyambut baik kesediaan Dr Zaliha mengadakan sesi dialog awam bersama anggota perubatan yang berkhidmat di negara, petang tadi.
Menurut jurucakap HDK yang hanya mahu dikenali sebagai Dr Syed, sesi dialog awam itu disifatkan sebagai permulaan yang baik.
Bercakap kepada Malaysiakini, Dr Syed berkata, pihaknya berharap pertemuan antara menteri kesihatan dan kumpulan doktor kontrak itu dapat menyelesaikan beberapa isu yang membelenggu mereka selama ini.
"Pertemuan yang baik dengan YB menteri, MMA (Persatuan Perubatan Malaysia) dan para doktor secara umum. Banyak isu dapat diutarakan dan YB menteri beri jaminan akan cuba siasat dan selesaikan isu-isu yang dibangkitkan dan ini adalah permulaan yang baik," katanya.
Menurut Dr Syed, antara isu yang dibangkitkan adalah seperti elaun doktor oncall, isu buli, isu kriteria lantikan tetap dan kesesakan di jabatan kecemasan.
Sementara itu, KKM dalam satu kenyataan turut memberi jaminan akan berusaha untuk menyelesaikan isu yang melibatkan pegawai perubatan termasuk kes buli di kalangan penjawat awam itu.
"Dengan semua cadangan dan maklum balas yang diperolehi, YB menteri akan berusaha menangani isu-isu berkenaan sama ada dari segi polisi atau teknikal yang melibatkan KKM," katanya ringkas.
Dr Zaliha hari ini mengadakan sesi dialog awam untuk mendapatkan maklum balas secara langsung daripada anggota perubatan yang berkhidmat di negara ini.
Sesi itu dianjurkan dengan sekretariat bersama Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan berlangsung selama lebih dua jam di Kementerian Kesihatan (KKM), Putrajaya.
Lebih 400 pegawai perubatan termasuk pegawai perubatan tetap, kontrak dan siswazah hadir pada sesi berkenaan.
Ini susulan kenyataan Hartal Doktor Kontrak bahawa Dr Zaliha masih belum melibatkan pekerja penjagaan kesihatan yang berkhidmat secara kontrak untuk sektor awam, lebih dua bulan selepas pelantikannya.
Hartal Doktor Kontrak berkata, pendahulu Dr Zaliha berbuat demikian hanya 26 hari selepas dilantik pada 2021.
Pada 2021, Hartal Doktor Kontrak menganjurkan mogok di seluruh negara untuk menarik perhatian awam dan penggubal dasar berhubung nasib doktor yang bekerja secara kontrak untuk hospital kerajaan.
Doktor kontrak menghadapi risiko kontrak mereka tidak diperbaharui selepas tempoh lima tahun.
Status kontrak itu juga menyaksikan mereka tidak menikmati faedah yang sama berbanding rakan sejawatan mereka yang bertaraf jawatan tetap, termasuk peluang yang saksama untuk melanjutkan kerjaya mereka dalam pengkhususan.