Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lebih 120,000 pekerja asing tiba sejak 17 Jan - menteri

Malaysia merekodkan 123,368 ketibaan pekerja asing baru sejak 17 Jan hingga kini di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0, menurut Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Menyorot peningkatan jumlah ketibaan bagi memenuhi permintaan daripada majikan dalam sektor kritikal, Saifuddin berkata jumlah berkenaan masih jauh daripada sasaran iaitu 500,000 pekerja asing baru.

"Perubahan dasar (pengambilan pekerja asing) kita berkesan.

"Walaupun masih belum mencukupi, kita menjangkakan peningkatan ketibaan pada Mac, April dan Mei," katanya ketika menjawab soalan Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) di parlimen hari ini.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin berkata jumlah ketibaan pekerja asing baru itu adalah sebahagian daripada 380,000 permohonan yang diterima daripada majikan setakat ini, termasuk untuk memberikan kebenaran bekerja kepada pekerja tanpa dokumen yang sudah ada di negara ini.

Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata rancangan melonggarkan syarat pengambilan pekerja asing meliputi sektor pembuatan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (restoran sahaja) dan subsektor.

Malaysia, melalui Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia, telah meningkatkan usaha untuk melibatkan kerajaan negara sumber pekerja asing - termasuk Bangladesh, Nepal dan Indonesia - dalam mempercepatkan prosedur pengambilan dan penempatan pekerja.

Antara isu yang menjadi tumpuan termasuk usaha untuk mengurangkan kos berkaitan pengambilan pekerja, gaji minimum dan perlindungan pekerja.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS