Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kerosakan pada struktur jejambat dan tiang berhampiran Transit Aliran Ringan (LRT) Bandaraya dan Masjid Jamek dipercayai disebabkan oleh pembinaan sebuah hotel 44 tingkat. 

Loke berkata kerosakan struktur itu menjejaskan perkhidmatan LRT di antara stesen Masjid Jamek dan stesen Bandaraya sejak 27 Januari. 

“Projek itu adalah pembinaan sebuah hotel 44 tingkat. Itu adalah hasil siasatan daripada syarikat konsultan yang dilantik oleh kementerian. 

“Laporan akhir akan diserahkan kepada Prasarana,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini. 

Anthony Loke

Loke berkata semua projek yang hendak dibina berhampiran dengan stesen LRT perlu mendapat kebenaran daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) sebelum ia dimulakan.

“Kita berasa kesal dengan kejadian yang berlaku kerana ia dimulakan tanpa kebenaran dan kelulusan dan ini memberikan kesan kepada kita dan kepada pengguna.

“Gangguan ini bukan disebabkan oleh kerosakan sistem kita tetapi adalah kerana kerosakan struktur disebabkan oleh projek pembinaan bersebelahan stesen LRT Bandaraya,” katanya. 

Menurutnya, hasil siasatan menunjukkan bahawa kerosakan kepada tiga struktur viaduct dan pier diakibatkan oleh pergerakan tanah, dipercayai daripada kerja-kerja di tapak pembinaan bersebelahan stesen terbabit. 

“Seperti yang telah dinyatakan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat pada 27 Januari 2023, kerja-kerja tersebut telah mula dijalankan tanpa sebarang perundingan dengan Apad bawah Peraturan-Peraturan Kereta Api (Zon Perlindungan Kereta Api) 1998,” katanya. 

Jelasnya, Prasarana kini dalam proses melantik kontraktor bagi menjalankan kerja-kerja baik pulih yang akan dimulakan pada awal bulan Mac dan dijangka akan mengambil masa sehingga tujuh bulan.

Tempoh itu merangkumi dua bulan untuk kerja-kerja baik pulih sementara bagi mengukuhkan struktur dan lima bulan untuk kerja-kerja baik pulih secara menyeluruh.

“Kerja-kerja baik pulih tersebut akan mengambil masa kerana siasatan menunjukkan kerosakan kepada struktur yang terjejas menimbulkan risiko keselamatan yang amat serius,” katanya. 

Akhir bulan lalu, Prasarana memaklumkan berhubung gangguan perkhidmatan antara dua stesen LRT Bandaraya dan LRT Masjid Jamek akibat penjajaran landasan yang bengkok. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS