Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Malaysiakini menubuhkan kesatuan wartawannya yang merupakan sebahagian daripada Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ).

Perintis berita dalam talian di negara ini, Malaysiakini sekali lagi membuka jalan, kali ini sebagai portal berita dalam talian pertama yang menubuhkan kesatuan di bawah NUJ.

Pengumuman dan induksi cawangan baru ini dibuat dalam satu acara NUJ di Hotel Maya, Kuala Lumpur hari ini.

Pengerusi pro-tem NUJ cawangan Malaysiakini Haspaizi Zain dan presiden NUJ Farah Marshita Abdul Patah menandatangani memorandum mewakili Malaysiakini dan NUJ, disaksikan Timbalan Ketua Misi Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia Timo Goosmann.

Dalam ucapan selepas pemeteraian itu, Haspaizi berkata penubuhan kesatuan itu adalah lanjutan kepada perjuangan Malaysiakini untuk kebebasan media.

"Sekarang kami sedang melihat ke arah memperjuangkan hak wartawan," tambahnya.

Haspaizi Zain

Katanya lagi, memorandum itu menterjemahkan semangat keakraban yang sekian lama wujud antara wartawan media arus perdana dan portal berita dalam talian.

"Kita dapat melihat hal ini apabila kita saling membela apabila ahli politik dan kalangan awam menyerang wartawan ketika bertugas dan ketika mata pencarian mereka terancam," katanya lagi, yang merupakan wartawan meja Bahasa Melayu Malaysiakini.

Portal lain digesa sertai NUJ

Sementara itu, Farah berkata penyertaan cawangan kesatuan Malaysiakini akan menamatkan jurang antara organisasi berita arus perdana dan portal.

“Kita semua kini akan berada di bawah satu payung. Kami berharap lebih banyak portal akan menyertai kami,” katanya lagi.

NUJ cawangan Malaysiakini akan menyaksikan kira-kira 26 kakitangan editorial bukan eksekutif menyertai kesatuan tersebut.

Selain acara menandatangani memorandum, turut diadakan forum yang membincangkan isu kesihatan mental dan keselamatan wartawan.

Forum itu menampilkan pane daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara serta Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS