Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azmin: Jangan salah tafsir hasrat nak rehat seketika dari politik

Ketua Penerangan PN Mohamed Azmin Ali meminta semua pihak supaya tidak menyalah tafsir hasratnya untuk berehat seketika daripada membabitkan diri dalam politik secara aktif.

Kata Azmin, sebagai ahli parti dia bertanggungjawab untuk memastikan partinya mendapat kemenangan dalam pilihan raya negeri yang dijangka berlangsung Jun depan.

“Saya ahli parti, saya bertanggungjawab untuk memastikan parti menang dalam pilihan raya akan datang.

“Anda jangan salah tafsir (hasrat saya berehat) seketika itu satu hari ke, seminggu ke, sebulan ke,” katanya ringkas kepada pemberita di perkarangan Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 12 Februari lalu, Azmin mengundang perhatian apabila menyatakan dia mahu berehat seketika daripada membabitkan diri dalam politik secara aktif dan mahu membuat perancangan baru.

Pengumuman bekas timbalan presiden PKR yang bertanggungjawab mengetuai 11 ahli parlimen parti itu berpaling tadah menyokong Bersatu pada 2022 itu dibuat beberapa ketika selepas dia berdiam diri ekoran kegagalannya mempertahankan kerusi parlimen Gombak.

Untuk rekod, Azmin masih merupakan Adun Bukit Antarabangsa.

Namun bekas menteri kanan kerajaan PN itu berkata dia bertekad untuk terus "berkhidmat kepada negara dan rakyat".

Ditanya berkenaan kesediaanya untuk bertanding dalam PRN akan datang, Azmin enggan mengulas lanjut.

"Bila dewan undangan negeri dibubarkan sudah pasti parti akan meneliti calon-calon akan dikemukakan.

"(DUN) belum bubar...jadi belum lagi (ada pencalonan)," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS