Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Saya tak sebut pun Menu Rahmah' - Halimah kata media cetus salah faham

Ahli Parlimen Kapar Halimah Ali sekali lagi menafikan kenyataannya yang mengaitkan makanan bermutu rendah dengan autisme dan kanser, ada kaitan dengan inisiatif Menu Rahmah oleh kerajaan.

Halimah mendakwa Malaysiakini dan KiniTV mencetuskan salah faham, dan menegaskan kenyataannya tidak menyebut langsung "Menu Rahmah".

"Mengapa anda kata saya sebut 'Menu Rahmah sebabkan kanser'? Saya tak sebut pun Menu Rahmah!

"Tidak disebut Menu Rahmah (dalam kenyataan asal)," katanya ketika ditemui Malaysiakini di lobi Parlimen hari ini.

Apabila pemberita cuba membangkitkan bahawa dia merujuk inisiatif itu dalam perbahasannya di Dewan Rakyat - seperti dinyatakan hansard, iaitu rekod rasmi parlimen - ahli parlimen PAS itu sekali lagi menyangkalnya.

"Tetapi tiada (disebut) 'Menu Rahmah'. Baca (hansard) satu per satu," katanya kepada Malaysiakini.

"Anda (Malaysiakini dan KiniTV) yang menyebabkan semua salah tanggapan ini," katanya lagi.

Penafian itu selepas Malaysiakini cuba mendapatkan maklum balasnya berkenaan usaha Ahli Parlimen Kuching Kelvin Yii agar dia dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen atas kenyataan itu.

Dalam perbahasan di Dewan Rakyat semalam, Halimah juga menafikan dia ada menyebut Menu Rahmah menyebabkan kanser dan meminta semua pihak agar merujuk hansard.

Berikut adalah kenyataan Halimah berdasarkan hansard:

"Saya nak sebutkan tentang food security dan health security. Ini semua keperluan asas. Kita tak mahu - saya selaku doktor perubatan, takut apabila keterjaminan makanan ini mendesak, ada membingungkan kerajaan.

"Kita tidak mahu shortcut, kita tidak mahu kompromi daripada bekalan makanan yang low quality.

"Saya tidak ada masalah dengan istilah 'rahmah' atau apa tetapi jangan sampai rakyat marhaen B40 diberikan bekalan makanan yang low quality dan mungkin juga menyebabkan mereka terdedah kepada kanser, autoimmune disease, kepada autisme dan sebagainya."

Dihujani kritikan

Sementara Halimah menafikan dia menyebut Menu Rahmah, kenyataannya berhubung istilah "rahmah" dan "makanan yang low quality" memberikan gambaran sebaliknya.

Inisiatif Menu Rahmah diperkenalkn kerajaan pada Januari lalu sebagai sebahagian usaha menangani masalah kos sara hidup yang tinggi.

Di bawah inisiatif ini, restoran dan kedai makan akan menyediakan makanan pada harga RM5 ke bawah.

Salah satu syarikat yang menyertai inisiatif itu, Mydin menafikan harga yang murah menandakan makanan yang disediakan bermutu rendah.

Kenyataan yang dibuat Halimah itu mengundang kritikan, antaranya berhubung perkaitan antara mutu makanan dan autisme.

Pada Khamis lalu, dia menjelaskan dia tidak berniat mengaitkan makanan bermutu rendah boleh menyebabkan autisme.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS