Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Muhyiddin dakwa presiden Umno dalangi pendakwaan

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin menyatakan rasa kesal dan sedihnya susulan pendakwaan rasuah ke atas ketua penerangannya, Wan Saiful Wan Jan dan seorang lagi pemimpin, hari ini.

Malah, bekas perdana menteri itu juga mendakwa pendakwaan yang dibuat terhadap Bersatu itu didalangi oleh Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya rasa sedih kerana buat pertama kali Bersatu dibawa ke mahkamah.

“Kalau saudari ingat apa kenyataan yang dikeluarkan Presiden Umno (Ahmad Zahid), dia kata sekarang ini dia tuduh kami kluster mahkamah dan selepas ini akan adalah satu kluster baru, mahkamah juga.

“Itu dah macam satu perkara yang dah awal-awal pendakwaan. 

“Jadi, apa yang berlaku adalah satu perkara yang saya fikir sebagai presiden Bersatu yang dirancang dan terancang,” kata pengerusi PN itu ketika ditemui pemberita di perkarangan Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Ahli Parlimen Pagoh itu, seterusnya menjelaskan bahawa setiap parti memerlukan dana untuk beroperasi dan ini termasuk dana daripada penyokong korporat.

Katanya, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) juga telah menerima dana daripada penyokong masing-masing dan mempersoalkan mengapa pemimpin mereka tidak didakwa di mahkamah.

”Mengapa saya katakan pendakwaan terpilih ialah kerana parti-parti politik dalam kerajaan yang terutamanya PH dan BN juga menerima sumbangan daripada ahli-ahli perniagaan ataupun sumbangan orang ramai tertentu. 

“Tetapi pemimpin parti mereka ini tidak pun didakwa di mahkamah dan pendakwaan terpilih ini berlaku ketika kerajaan PH dan BN dilihat semakin gagal,” katanya.

Menurut Muhyiddin, Bersatu juga telah menjangkakan pendakwaan tersebut dilakukan oleh kerajaan PH-BN yang bertujuan untuk melumpuhkan Bersatu selepas melihat sokongan rakyat kepada PN pada PRU15 lalu.

“Pendakwaan terpilih ini berlaku ketika kerajaan PH dan BN dilihat semakin gagal menyelesaikan masalah rakyat.

“Mereka bakal ditolak dalam pilihan raya di enam buah negeri yang akan berlangsung tidak berapa lama lagi,” katanya. 

Tambah Muhyiddin,  memandangkan tindakan pendakwaan terpilih telah diambil terhadap beberapa pemimpin Bersatu, dia yakin bahawa pembelaan yang sewajarnya dan seadilnya akan ditegakkan di mahkamah.

“Manakala mahkamah rakyat pula akan menghukum PH-BN di atas niat jahat mereka melakukan pendakwaan terpilih secara berterusan terhadap lawan politik mereka,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS