mk-logo
Berita
ICRC: Masih banyak perlu dibuat lindungi orang awam dari konflik
Diterbitkan:  Feb 20, 2023 4:28 PM
Dikemaskini: 8:28 AM

GLOBAL | Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) menjelaskan lebih banyak perkara perlu dilakukan untuk melindungi orang awam daripada konflik, ketika badan itu menyambut ulang tahun ke-160 penubuhannya pada Jumaat (17 Feb).

“Selepas 160 tahun bekerja, Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah memaklumkan dunia telah mencapai kemajuan sebenar dalam mengurangkan bahaya terhadap orang awam di medan perang.

“Namun penderitaan akibat konflik terus wujud, bermakna masih banyak yang perlu dilakukan,” kata Presiden ICRC Mirjana Spoljaric dalam satu kenyataan yang disediakan kepada Bernama.

Spoljaric menekankan bahawa pematuhan undang-undang kemanusiaan antarabangsa telah, dan akan terus menjadi satu-satunya cara untuk memelihara nilai kemanusiaan semasa konflik.

"Undang-undang jenayah perang mesti menjadi keutamaan politik," katanya, sambil menambah bahawa ICRC telah bekerja di 100 negara dan tenaga kerjanya melebihi 21,000 orang.

Menurut kenyataan itu, ICRC, bersama rakan-rakannya dalam Pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa akan meneruskan tugasnya dalam memastikan organisasi itu kekal neutral, tidak berat sebelah dan aktiviti kemanusiaannya difahami oleh semua, meskipun senjata dan teknologi baharu terus diperkenalkan.

“Sentiasa memihak kepada kemanusiaan, ICRC juga akan terus menyokong dan mendesak agar undang-undang kemanusiaan antarabangsa terus dihormati, melarang keganasan terhadap mereka yang tidak terlibat dalam konflik bersenjata,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS