PH Terengganu membuat laporan polis berhubung perarakan Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit 2023) anjuran PAS negeri itu, yang berlangsung Jumaat lalu.
Laporan polis dibuat Pengerusi PH Terengganu Raja Bahrin Shah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, hari ini.
Raja Bahrin dalam laporannya mendakwa perarakan menggunakan replika senjata di khalayak umum itu telah menimbulkan kegusaran awam.
"PAS kini lebih berani dan lebih bebas bermaharajalela menunjukkan sikap ekstrem mereka berarak di jalanan dengan alat berbentuk 'senjata' dan lengkap berpakaian perang menimbulkan kegerunan rakyat jelata di negeri (Terengganu) Darul Iman.
"Bukan sahaja mereka berarak tetapi menggunakan alat berbentuk ‘pedang’ dan ‘lembing’ yang menimbulkan kebimbangan orang awam. Apakah niat dan hajat menunjukkan persediaan untuk berperang ini di khalayak ramai?
"Bukankah Majlis Raja Raja Melayu baru-baru ini telah bertitah meminta kestabilan negara dipelihara, tetapi perbuatan ini berniat sebaliknya," katanya dalam laporan polis itu.
Program Himpit mendapat perhatian ramai selepas menampilkan peserta berpakaian dilengkapi replika senjata, selain replika pedang gergasi yang diarak di atas lori.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na'im Mokhtar semalam berkata ia memberi gambaran tidak baik kepada agama, dan mereka sebaiknya menonjolkan unsur Islam yang bersifat damai.
Beberapa pemimpin PAS mempertahankan perarakan itu, antaranya membandingkannya dengan perarakan Hari Pahlawan dan acara cosplay yang memaparkan watak anime bersenjata.
“Perarakan bersenjata oleh pasukan bersenjata negara sering kita lihat dalam perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan, Hari Pahlawan dan majlis-majlis rasmi tertentu," kata anggota jawatankuasa PAS Nasrudin Hassan.
Sementara itu, polis Terengganu menyatakan pihaknya akan menjalankan siasatan awal berhubung perkara itu.
Raja Bahrin juga membangkitkan restu pemimpin utama PAS terhadap acara itu, yang disifatkannya sebagai "dibuat secara amat terbuka dan agresif".
"Keterlibatan presiden dan ketua Pemuda PAS menunjukan restu pihak teratas parti dan ini mesti di siasat.
" PH Terengganu menuntut pihak keselamatan negara khususnya pihak PDRM memandang serius isu ini demi ketenteraman dan keharmonian negara dan menjalankan siasatan.
"Tiada pihak berada di atas undang-undang negara. Kami mendesak pihak kerajaan dan pihak keselamatan negara bertindak segera sebelum terlambat," katanya lagi.