PARLIMEN | Kerajaan akan memberi tumpuan dalam menyediakan latihan ketika kerja untuk menangani jurang kemahiran yang diperlukan bagi suatu pekerjaan tersebut, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Kementerian Ekonomi akan bekerjasama dengan kementerian berkaitan yang lain untuk membuka akademi di bawah program pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) kerajaan, yang dinamakan Academy in Factory.
Syarikat, misalnya yang terlibat dalam sektor pembuatan, akan menyediakan latihan kepada golongan muda dalam kemahiran yang diperlukan dan kemudian akan memberikan pekerjaan kepada mereka.
"(Ini akan membenarkan golongan muda) tidak bergantung sepenuhnya untuk mendapatkan ijazah atau sijil, yang memakan masa, tapi melalui latihan ketika kerja yang akan memendekkan tempoh masa dalam mendapatkan kemahiran," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Rafizi (PH-Pandan) berkata permintaan yang rendah untuk golongan muda dalam tenaga kerja adalah disebabkan spektrum kerja yang tidak sesuai dan kekurangan kemahiran yang diperlukan, misalnya kemahiran digital.
Jika program itu berjaya dilaksanakan, katanya, Academy in Factory akan dapat melatih 100,000 anak muda pada tahun ini.
Dia berkata demikian ketika menjawab soalan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) berhubung perancangan kementerian untuk menangani masalah permintaan rendah untuk golongan muda dalam pasaran kerja.
Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata kursus TVET perlu memenuhi minat dan aspirasi golongan muda di zaman ini.
Katanya, ramai golongan muda merasakan kursus sedia ada sebagai ketinggalan zaman dan tidak menepati keadaan ekonomi semasa.