Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Kerajaan sekarang didakwa menggalas "kerja senang" untuk menguruskan isu kewarganegaraan bayi yang dilahirkan wanita rakyat Malaysia di luar negara.

Kata Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah), isu tersebut sudah ditangani oleh kerajaan terdahulu dengan dia sendiri terbabit menemui kumpulan yang mendesak agar kerakyatan diberi kepada bayi seumpama itu.

Mas Ermieyati berkata semasa menjadi timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri dia menemui pihak seperti Family Frontiers dan membawa mereka menemui menteri yang berkaitan.

Dalam pertemuan itu katanya Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyatakan komitmen untuk membantu wanita terbabit dan proses awal untuk menjayakannya sudah dibuat.

"Kerajaan hari ini tinggal buat keputusan saja.

"Maksudnya apa? Tak ke senang - kerajaan hari ini buat keputusan saja!" katanya semasa membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 18 Feb lalu Malaysiakini melaporkan kerajaan bersetuju dengan cadangan agar Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi memberikan hak kepada wanita Malaysia yang berkahwin dengan lelaki warga asing untuk mewariskan kewarganegaraan kepada anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara.

Hal itu dimaklumkan dalam kenyataan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Azalina Othman, dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Ketika ini bayi yang dilahirkan oleh wanita Malaysia bersama pasangan rakyat asing tidak boleh mendapat kewarganegaraan secara automatik.

Mas Ermieyati berkata dia merupakan salah seorang daripada 50,000 individu yang memandatangani inisiatif digerakkan Family Frontiers untuk memberikan hak sama rata untuk wanita Malaysia.

Pada masa sama dia turut mengingatkan kerajaan agar menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan tidak lama lagi mengenai isu tersebut, bukannya membuat pengumuman awal yang terdedah kepada tindakan undang-undang.

"Lebih molek untuk kerajaan menunggu keputusan mahkamah bagi mengetahui apakah limitasi yang akan kita hadapi.

"Begitu juga bagi perkara yang melibatkan perkenan Majlis Raja-raja Melayu. Ini perlu untuk mengelakkan berlakunya krisis undang-undang berkenaan dengan individu dua kewarganegaraan," katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS