Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PARLIMEN | Dua pemimpin parti hari ini menggesa kerajaan menyediakan peruntukan yang sama rata kepada semua ahli parlimen demi faedah pengundi masing-masing.

Syed Saddiq Abdul Rahman (PH-Muar) dalam soalan tambahan hari ini berkata kerajaan yang baru ini bertanggungjawab menyediakan peruntukan yang adil.

Malah Syed Saddiq turut mengingatkan kembali bagaimana dia bergelut untuk membantu orang ramai di Muar ketika menjadi pembangkang apabila peruntukan untuk mereka lewat disalurkan.

Kata presiden Muda itu hanya kerana kerajaan terdahulu memberikan peruntukan yang berbeza di antara ahli parlimen kerajaan dan pembangkang ia menjadi alasan kerajaan baru untuk meneruskan amalan tersebut.

"Saya ingat dulu semasa saya duduk meja pembangkang, saya antara ahli parlimen yang terakhir dapat peruntukan daripada kerajaan lepas, sampai perlu botak kepala, jual barang-barang, ajar tuisyen percuma.

"Semua ini untuk pastikan anak-anak Muar tidak tertinggal daripada bantuan khususnya bantuan kebajikan.

"Tapi untuk kita toleh belakang dan kata: 'Dulu mereka buat jadi kita boleh buat benda sama' ini adalah salah," katanya semasa mengemukakan soalan tambahan hari ini.

Untuk rekod bekas menteri belia dan sukan itu membotakkan kepalanya dalam usaha mengumpul dana sebanyak RM200,000 bagi membeli 100 unit komputer riba buat kegunaan pelajar di Muar.

Dia menambah, kerajaan - walaupun siapa yang berkuasa - wajar memastikan peruntukan adil diberi kepada semua ahli parlimen.

Hal itu kerana, katanya, orang yang susah dan memerlukan tidak dibeza-bezakan melalui kecenderungan politik masing-masing.

"Kita perlu membawa bentuk baru pada politik Malaysia," katanya.

Berdasarkan kedudukan kewangan negara

Menjawab soalan itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas, Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Armizan Ali berkata kerajaan terbuka untuk mempertimbangkan semua permohonan dana yang dibuat melalui ketua ahli parlimen sesebuah parti.

"Mana-mana ahli parlimen yang belum terima peruntukan, saya syorkan agar memohonlah, berunding melalui ketua whip masing-masing agar mereka juga agar dibuka boleh dipertimbangkan.

"Paling penting ialah keterbukaan kita. Dengan kedudukan kewangan yang baik kerajaan tak akan ragu-ragu pertimbangkan peruntukan untuk semua," katanya.

Ketua whip merupakan ahli parlimen yang dilantik sesebuah parti untuk memantau dan mengetuai wakil rakyat mereka. Ketika ini ketua whip untuk BN ialah Ahmad Zahid Hamidi manakala Takiyuddin Hassan bertindak sebagai ketua whip PN. Fadillah Yusof pula menjadi ketua whip Gabungan Parti Sarawak.

Armizan Ali

Terdahulu, Presiden Parti Bangsa Malaysia Larry Sng turut membangkitkan isu peruntukan sama rata untuk semua ahli parlimen.

Wakil rakyat untuk Julau itu bertanya sama ada kerajaan bercadang menambah jumlah geran khas melalui projek kecil luar bandar dan projek Mesra Rakyat untuk ahli parlimen Sabah dan Sarawak.

Armizam berkata pertambahan peruntukan akan bergantung kepada kedudukan kewangan semasa negara, dengan fokus awal ialah untuk meningkatkan kedudukan fiskal negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS