Paling Popular
Terkini

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Armand Azha Abu Hanifah mengesahkan Lembaga Disiplin Umno memanggil dirinya pada 23 Feb ini.

Bagaimanapun, Armand tidak menjelaskan alasan kenapa dia dirujuk ke hadapan Lembaga Disiplin Umno.

"Insya-Allah pada 23hb (Feb) ini," katanya ringkas kepada Malaysiakini.

Armand yang juga ketua Umno bahagian Subang merupakan calon untuk merebut jawatan ketua Pemuda Umno yang ditinggalkan penyandangnya Asyraf Wajdi Dusuki.

Gambar fail, Armand bersama Ismail Sabri Yaakob.

Untuk rekod, Armand merupakan orang kuat kepada naib presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob ketika menjadi perdana menteri dan dilihat tidak sehaluan dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Sebelum ini, Umno menggantung keahlian selama enam tahun terhadap Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein dan naib ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan Sufian.

Umno turut memecat bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin serta bekas pengerusi Umno Selangor, Noh Omar.

Sementara itu, sumber dalaman Umno mengesahkan yang Armand akan mengadap Lembaga Disiplin Umno.

Sumber memaklumkan bahawa Armand dikaitkan dengan kesalahan melanggar tatatetika kempen bagi pemilihan parti yang akan berlangsung Mac depan.

"Pada mesyuarat MKT Umno yang berlangsung minggu lalu Armand telah diberikan surat tunjuk sebab oleh parti.

"Bahkan isu berkenaan tidak dibincangkan dalam mesyuarat MKT," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS