Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan: SPRM anggap Muhyiddin sebagai antara suspek
Diterbitkan:  Feb 19, 2023 1:44 PM
Dikemaskini: 5:44 AM

Sebuah portal berita membayangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyanggah kenyataan dibuat bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin berhubung siasatang yang sedang dijalankan mereka.

Berdasarkan laporan BH Online, agensi antirasuah itu mendakwa Muhyiddin adalah antara suspek yang sedang disiasat berhubung isu Jana Wibawa diperkenalkan kerajaan sebelum ini.

Memetik sumber yang tidak didedahkan portal itu mendakwa Muhyiddin - yang juga pengerusi PN - merupakan suspek semasa dia dipanggil memberi keterangan pada Khamis lalu.

Sumber SPRM terbabit juga menegur Muhyiddin kerana dianggap tidak wajar mengulas isu tersebut kerana boleh dianggap mengganggu siasatan yang sedang berjalan.

Jumaat lalu pelbagai media massa melaporkan Muhyiddin menghabiskan masa beberapa jam pada pagi Khamis untuk memberi keterangan kepada SPRM di Putrajaya.

Bagaimanapun semalam Muhyiddin menegaskan kedatangannya ke SPRM itu adalah hanya untuk membantu siasatan, bukannya sebagai suspek.

Menurut laporan Malaysiakini presiden Bersatu itu sekali lagi menegaskan dia tidak terbabit dalam sebarang salah laku atau penyelewengan dalam inisiatif yang dibuat untuk membantu kontraktor bumiputera yang terjejas akibat Covid-19.

Katanya penyiasat SPRM juga tidak menyoalnya berhubung dakwaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa pentadbirannya sebelum ini menyalahgunakan berbilion ringgit wang negara.

Selain Muhyiddin, lapora BH Online, SPRM turut menjalankan siasatan ke atas beberapa individu lain termasuk Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

"Tengku Zafrul juga akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat," kata sumber itu.

Untuk rekod malam tadi Tengku Zafrul sudah memberikan komitmennya untuk bekerjasama penuh dengan SPRM jika dipanggil memberi keterangan.

Senator itu juga berkata, tidak ada apa-apa yang mahu disembunyikannya daripada pihak berkuasa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS