Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lebih 500 premis sertai Menu Rahmah sejak dilancarkan

Langkah kerajaan memperkenalkan Menu Rahmah sejak awal bulan ini sudah menarik penyertaan 512 premis seluruh negara.

Semua premis itu mewakili pelbagai jenis masakan termasuklah kedai masakan panas, restoran India Muslim dan serta rangkaian restoran makanan segera.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, pihaknya sedang mencari jalan untuk membantu peniaga yang menawarkan Menu Rahmah di premis mereka.

"Kita akan mengadakan perbincangan dengan pemilik restoran terbabit jika kos bahan mentah bagi menyediakan Menu Rahmah ini meningkat.

"Perbincangan itu akan mengambil kira (keadaan) jika inflasi sukar dikawal hingga membebankan peniaga berkenaan.

"Buat masa ini, (kadar) inflasi makanan menunjukkan (unjuran) penurunan sebanyak 6.58 peratus sejak hujung tahun lalu hingga awal tahun ini, berbanding tujuh peratus pada November lalu," katanya dalam sidang media di Kuantan, hari ini.

Fuziah sebelum itu melancarkan jelajah Menu Rahmah peringkat Pahang di sebuah restoran India Muslim terkenal di bandar raya itu.

Dia turut memberitahu sebanyak 18 premis sudah mendaftar untuk menyertai inisiatif Menu Rahmah di Pahang.

Dalam pada itu, Fuziah turut memaklumkan portal KPDN sudah mula memaparkan senarai premis menawarkan Menu Rahmah untuk rujukan orang ramai hari ini.

"Selain memaparkan senarai premis menyediakan Menu Rahmah, peniaga atau pemilik premis yang berminat untuk menyertai inisiatif itu juga boleh mendaftarkan premis mereka di portal KPDN.

"KPDN juga akan melakukan lebih banyak sesi libat urus dengan peniaga terutamanya mereka yang memiliki rangkaian restoran di seluruh negara bagi memastikan sistem sokongan Menu Rahmah ini dapat bertahan lama," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS