Malaysia dan Singapura komited untuk berkongsi kepakaran bagi membangunkan pertanian moden dengan menggunakan aplikasi teknologi pintar.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata perkara itu dibincangkan dalam pertemuan antara menterinya, Mohamad Sabu dengan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon semalam.
Kunjungan hormat Vanu kepada Mohamad berlangsung di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Kuala Lumpur.
"Kepentingan membangunkan pertanian moden dan aplikasi teknologi pintar dalam sektor pertanian adalah antara perkara yang dibincangkan semasa Vanu.
"Pertemuan ini adalah penting bagi membincangkan kerjasama dua hala kedua-dua negara dalam sektor pertanian khususnya berkaitan perdagangan agromakanan.
"Mohamad turut menyatakan bahawa kestabilan bekalan makanan adalah isu global dan
perlu ditangani bersama oleh Malaysia dan Singapura," kata kementerian melalui kenyataan.
Dalam masa yang sama, Malaysia turut mempelawa Singapura untuk bersama-sama meningkatkan bekalan makanan melalui pelaburan dalam sektor pertanian moden di Malaysia.
Katanya, Singapura bersedia untuk berkongsi teknologi dan kepakarannya dalam bidang pertanian pintar.
Singapura merupakan rakan dagang pertanian yang penting bagi Malaysia berdasarkan nilai dagangan dalam sektor berkenaan.
"Untuk rekod, dari Jan hingga Okt 2022, nilai perdagangan dalam sektor pertanian di antara Malaysia dan Singapura adalah berjumlah RM15.99 bilion.
"Kedua-dua negara bersedia untuk memberikan komitmen bagi memperkukuhkan perdagangan dua hala dalam bidang pertanian selaras dengan matlamat untuk menjamin sumber bekalan makanan yang mampan dan berterusan," kata kenyataan itu lagi.