Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menjelang 100 hari, PM akhirnya dapat pujian Hassan Karim
Diterbitkan:  Feb 17, 2023 1:05 PM
Dikemaskini: 5:12 AM

Terkenal dengan kelantangannya menegur perkara yang dirasakan tidak betul, walaupun presiden parti sendiri, kali ini dalam kes siasatan Kertas Pandora, Hassan Abdul Karim lain nadanya.

Katanya, kalau diminta satu sebab kenapa dia menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, siasatan terhadap pendedahan Kertas Pandora adalah satu sebabnya.

Katanya, siasatan itu tidak berlaku di era kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob, malah ditolak untuk perbincangan parlimen.

“Masa Anwar Ibrahim dah jadi perdana menteri, barulah SPRM dapat keberaniannya semula untuk siasat isu Kertas Pandora.

“Kalau ini bukan dianggap satu reformasi ataupun konsep pemerintahan Madani, maka kepada kawan -kawan dalam Perikatan Nasional (PN), Saya tak tahulah macam mana lagi nak cakap,” katanya.

Kandungan bocor Kertas Pandora  berkaitan isu rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan disiasat empat badan, iatu SPRM, Bank Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Kertas Pandora merujuk kepada kebocoran maklumat kewangan dan rekod perkhidmatan luar pesisir yang menubuh dan menguruskan syarikat cengkerang serta amanah di kawasan besar cukai di seluruh dunia.

Dokumen-dokumen itu didedahkan kepada Konsortium Antarabangsa Wartawan Penyiasatan (ICIJ), yang seterusnya memberikan akses kepada rakan kongsinya di seluruh dunia, termasuk Malaysiakini.

Setakat ini SPRM dilapor merakamkan kenyataan seorang bekas menteri dan anak seorang bekas perdana menteri.

Antara individu dinamakan dalam Kertas Pandora ialah Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi,  Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz dan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin.

Bagaimanapun mereka sebelum ini berkata akaun mereka tidak digunakan untuk urusan yang sah.

Anwar ketika menjadi ketua pembangkang pada 2021 mengusulkan supaya perkara itu dibahaskan di parlimen tetapi ditolak oleh speaker Azhar Azizan Harun.

Dalam kenyataan hari ini Hassan juga mengingatkan SPRM menyiasat semua pihak tanpa pilih kasih.

“Rakyat semua dah tahu di hujung jari, nama-nama mereka yang terbit dalam Kertas Pandora,” katanya.

“Ada nama mantan perdana menteri; ada nama mantan timbalan perdana menteri; ada nama mantan-mantan menteri kewangan; ada nama tuan yang terutama gabenor sebuah negeri;

ada nama mantan ketua menteri; ada nama anak mantan perdana menteri, dan ramai mereka.”

Katanya jika terdapat kandungan bocor yang tidak benar, SPRM perlu bersihkan nama-nama tokoh Malaysia yang disenaraikan dalam Kertas Pandora.

“Perlu siasat segera. Jika mereka Bersih, maka umumkan mereka bersih,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, jika siasatan mendapati terdapat kesalahan berkaitan pengumpulan harta di luar negara dan pelarian cukai, maka tindakan pendakwaan perlu segera dibawa ke mahkamah.

“Jadi beberapa hari lagi sampailah 100 hari pertama Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

“Jadi sekalung bunga dan tabik hormat kepada YB Tambun yang dalam hal Kertas Pandora. Beliau walk the talk atau cakap serupa bikin,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS