ULASAN | Keseluruhan golongan M40 khususnya dalam kelompok bawahan kategori itu perlu diberikan perhatian tersendiri dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan tidak lama lagi.
Bantuan seperti sumbangan tunai (cash handout) misalnya diharapkan dapat diperluas kepada golongan terbabit selain pembaharuan cukai diperkenalkan.
Saya menyambut baik kenyataan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli untuk mengkaji semula kumpulan pendapatan isi rumah dalam negara ini berdasarkan perubahan struktur pendapatan dan perbelanjaan rakyat, kos sara hidup dan kuasa beli bagi memastikan bantuan kerajaan yang lebih bersasar.
Golongan M40 sering dianaktirikan sebelum ini, terutamanya dalam kalangan yang berpendapatan bawah kadar pendapatan penengah M40.
Walaupun mereka adalah pembayar cukai yang setia, kita lihat dua kerajaan terdahulu tidak begitu berminat mengurangkan beban golongan berkenaan.
Namun, saya percaya kerajaan Malaysia Madani pimpinan Anwar Ibrahim mengambil sikap yang lebih prihatin terhadap kesulitan dialami mereka.
Justeru sistem percukaian yang lebih prihatin perlu diperkenalkan dalam Belanjawan 2023 iaitu:
(1) Potongan kadar cukai yang bermakna,
(2) Pengecualian cukai atas bonus, serta
(3) Pengenalan kurungan pendapatan (income bracket) yang lebih lebar supaya kadar cukai efektif ke atas golongan M40 bawahan dapat dikurangkan.
Tiga kaedah pembaharuan cukai ini dapat menyuntik tunai ke dalam poket rakyat M40 yang memerlukan.
Ramai pakar ekonomi berpendapat kadar cukai atas M40 adalah tidak selari dengan pendapatan mereka dan sepatutnya ia dikurangkan. Pada masa yang sama, saya melihat keperluan bonus yang diterima rakyat M40 bawahan perlu dikecualikan cukai.
Jika ini dilaksanakan ini, kita dapat membantu mereka meningkatkan pendapatan boleh guna atau kuasa beli, seterusnya mewujudkan kesan pengganda (multiplier effect) untuk ekonomi.
Sejak kerajaan perpaduan dibentuk, kerajaan pimpinan Anwar telah melaksanakan pelbagai pembaharuan penting. Momentum ini perlu dipertingkatkan melalui Belanjawan 2023 dengan mengangkat kebajikan golongan M40, terutamanya kumpulan M40 bawahan.
FAIZ FADZIL ialah anggota Jawatankuasa Amanah Nasional dan Adun Permatang Pasir.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.