Paling Popular
Terkini

Cadangan elaun khas diberikan kepada anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) negara yang terlibat dengan misi di Turkiye menjadi penaik semangat serta motivasi kepada mereka untuk terus melakukan yang terbaik.

Seorang anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) Akmar Hisham Basor berkata pemberian khas berkenaan mampu meningkatkan motivasi anggota pasukan itu yang kini memasuki minggu kedua bertugas di Nurdagi.

”Ia juga mampu menarik minat anggota SMART yang lain untuk turut serta dalam misi di luar negara yang akan datang,” katanya kepada Bernama.

Pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Mohd Khairul Azmi Jaafar berkata dia bersyukur dengan pengumuman yang dibuat oleh perdana menteri.

Katanya selain memberi semangat ia juga merupakan penghargaan kepada anggota SMART yang berhadapan pelbagai cabaran dan kesukaran semasa melakukan operasi SAR di Turkiye.

“Pengumuman itu memberi impak positif kepada setiap individu terlibat, dan menunjukkan kerajaan prihatin dengan cabaran yang dihadapi oleh pasukan SAR di sini,” katanya.

Anggota Pasukan Khas Pertahanan Awam Mohd Alip Roslani berkata pemberian berkenaan memberikan semangat untuk dia terus terlibat dalam operasi seumpama itu pada masa akan datang.

“Apa yang paling penting, pengalaman pengurusan bencana yang diperoleh di sini yang boleh diaplikasikan di tanah air,” katanya.

Semalam di Dewan Rakyat Perdana Menteri Anwar Ibrahim mencadangkan supaya semua petugas pasukan SAR negara yang berkhidmat dalam misi menyelamat mangsa gempa bumi Turkiye dan Syria diberikan elaun khas.

Anwar dilaporkan berkata ia termasuk memberikan sijil penghargaan serta pingat khidmat khusus sebagai menghargai pengorbanan serta komitmen petugas terlibat.

Pada Isnin lepas, Anwar berlepas ke Turkiye bagi menyatakan sokongan moral kepada Presiden Recep Tayyip Erdogan dan rakyat negara itu yang dilanda gempa bumi awal minggu lepas sehingga mengorbankan puluhan ribu nyawa.

Sepanjang keberadaan pasukan SAR negara di sini mereka telah berjaya menyelamatkan lima sekeluarga dan mengeluarkan 47 mayat.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS