Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Air hangat resap dalam ais, cairkan 'Glasier Kiamat Antartika' - Saintis

GLOBAL | Para saintis yang mengkaji Glasier Thwaites Antartika yang luas - dijuluki gelaran Glasier Kiamat - berkata air hangat telah meresap ke titik lemahnya, semakin memburukkan pencairan yang disebabkan oleh peningkatan suhu.

Perkara ini dinyatakan dalam dua makalah yang diterbitkan jurnal Nature pada hari Rabu.

Thwaites, dengan saiz kira-kira seluas Florida, mewakili lebih dari setengah meter (1.6 kaki) potensi kenaikan paras laut global, dan boleh menjejaskan kestabilan glasier bersebelahan yang berpotensi menyebabkan kenaikan paras laut sebanyak tiga meter (9.8 kaki) lagi.

Sepasukan 13 saintis AS dan British menghabiskan masa kira-kira enam minggu di glasier itu pada akhir 2019 dan awal 2020.

Mereka sebahagian daripada kerjasama International Thwaites Glacier - kempen penyelidikan lapangan terbesar yang pernah dicuba di Antartika.

Menggunakan kenderaan robot bawah air yang dikenali sebagai Icefin, data tambatan dan alat penderia, mereka memantau garisan asas glasier, tempat ais meluncur keluar dari glasier itu dan bertemu dengan lautan buat kali pertama.

Dalam salah satu kertas kajian, diketuai oleh saintis yang berpangkalan di Cornell University, Britney Schmidt, penyelidik mendapati bahawa air yang lebih hangat memasuki celah-celah glasier dan bukaan lain yang dikenali sebagai teres menyebabkan pencairan sisi 30 meter (98 kaki) atau lebih dalam masa setahun.

"Air hangat masuk ke bahagian paling lemah glasier dan menjadikannya lebih teruk," kata Schmidt kepada Reuters.

"Itulah perkara yang patut kita semua ambil berat," katanya mengenai penemuan yang menggariskan bagaimana perubahan iklim sampai ke kawasan terpencil Antartika.

Penemuan lain kajian itu, yang juga diusahakan oleh Schmidt, menunjukkan kira-kira lima meter ais (16 kaki) cair setahun berhampiran garisan asas glasier - kurang dari apa yang diramalkan oleh model penipisan paling agresif sebelum ini.

Pun begitu, katanya pencairan itu masih membimbangkan.

"Jika kita perhatikan kurang lebur... itu tidak mengubah hakikat bahawa ia menipis," kata Schmidt.

Gambar fail, kenaikan paras laut jejaskan sawah di Jawa.

Para saintis sebelum ini bergantung pada imej satelit untuk menunjukkan tingkah laku ais, menjadikannya sukar untuk mendapatkan butiran mengenai keadaan permukaan. Kajian itu untuk kali pertama mewakili pasukan yang berada di garis asas glasier utama, memberikan pandangan tepat di mana "tindakan bermula," kata Schmidt.

Penemuan itu akan membantu dalam pembangunan model perubahan iklim, kata Paul Cutler, pengarah program Sains Antartika di Yayasan Sains Kebangsaan AS. Dia menyemak kertas kajian itu, tetapi tidak terlibat dalam penyelidikan tersebut.

"Perkara ini kini boleh diambil dalam model yang akan meramalkan tingkah laku masa depan (pencairan glasier), dan itulah matlamat kerja ini," katanya.

(Laporan oleh Cassandra Garrison; Penyuntingan oleh Helen Popper)

- Reuters


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS