PARLIMEN | Kerajaan akan menaikkan hukuman ke atas pihak yang terbabit melakukan pencemaran air di negara ini, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.

Menurutnya mana-mana pihak yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM10 juta serta penjara sehingga 15 tahun.

"Peningkatan tempoh hukuman dan kadar denda ke atas tindakan yang berisiko menyebaban pencemaran kepada mana-mana alur air atau sistem bekalan air.

“Dalam hal ini, pindaan melibatkan peningkatan denda daripada RM100,000 kepada RM10 juta, manakala hukuman penjara dinaikkan daripada setahun kepada 15 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Ahli parlimen Setiawangsa itu berkata demikian semasa menjelaskan pindaan Akta Perkhidmatan Industri Perkhidmatan Air 2006.

Kementerian itu mensasarkan pindaan ini dapat dibentangkan di parlimen pada sesi Jun 2023.

Di bawah pindaan tersebut, hukuman berkenaan melibatkan penyenaraian kesalahan-kesalahan baru seperti sebarang perbuatan yang menyebabkan, atau yang mungkin menyebabkan penutupan sistem bekalan air atau gangguan bekalan air kepada pengguna serta melepaskan apa-apa kumbahan, efluen, benda atau bahan ke dalam mana-mana lurang.

“Ia juga membolehkan pemegang lesen perkhidmatan air menuntut semula kos bag memulikan sistem bekalan air yang telah dicemari daripada pihak yang didapati bersalah menyebabkan pencemaran air,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Amirudin Shari yang turut bersama dalam sidang media berkenaan berkata kerajaan negeri turut menyambut baik pindaan yang diadakan itu.

“Anjakan pindaan yang diadakan bagi memastikan kelestarian sumber bekalan air dan sumber air mentah dapat dipastikan berada dalam keadaan baik serta terus dipelihara.

“Insiden-insiden ini acap kali berlaku, yang mungkin selalu dilaporkan di negeri Selangor tapi kadang-kala berlaku di banyak tempat juga - Pahang, Kedah, Terengganu dan lain juga banyak berlaku dan negeri Selangor sendiri telah meningkatkan jumlah denda yang lebih tinggi sehingga RM1 juta.

“Ia dapat memberikan tekanan dan sedikit rasa takut kepada pesalah-pesalah,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS