Personaliti televisyen, Nik Suryani Megat Deraman mengumumkan untuk merebut jawatan exco Wanita Umno pada pemilihan parti itu yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Bekas pembaca berita TV3 itu menyerahkan borang pencalonan bagi merebut jawatan berkenaan di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur, kelmarin.
Nik Suryani merupakan ahli Umno Cawangan Kubang Kepong, Marang, Terengganu.
"Hasrat saya menawarkan diri ini adalah untuk meneruskan kesinambungan perjuangan, pengorbanan dan khidmat bakti Wanita Umno pada negara sejak sebelum Merdeka.
"Selain berkongsi pengalaman selaku pengamal media dan industri kreatif yang telah berkecimpung hampir 20 tahun.
“Mudah-mudahan dengan sumbangan kecil saya ini, dan juga seluruh ahli Umno, parti keramat ini akan terus mara, relevan, sebagai wadah membela agama, bangsa dan tanah air tercinta,” katanya.
Nik Suryani merupakan bekas wartawan dan pembaca berita TV3 yang kini bergiat aktif dalam dunia perniagaan, media dan industri kreatif.
Isteri kepada Saiful Bukhari Azlan, pengadu kes liwat melibatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu, berhasrat untuk mencurahkan pengalamannya jika dipilih sebagai exco Wanita Umno.
Nik Suryani merupakan ahli Umno sejak tahun 2012.
Jelasnya, keputusan untuk bertanding jawatan itu telah mendapat restu daripada ahli keluarganya termasuk suami.
Pemilihan bagi jawatan sayap-sayap Umno, termasuk Wanita, akan berlangsung pada 11 Mac ini, seminggu sebelum pemilihan di peringkat pusat pada 18 Mac.