PARLIMEN l Ahli Parlimen Kuala Selangor Dzulkefly Ahmad mencadangkan agar kerajaan mewujudkan dasar penggal tetap Parlimen bagi menentukan tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) secara automatik.
Katanya, tindakan itu bagi memastikan sesebuah kerajaan stabil tanpa diganggu-gugat oleh mana-mana pihak, sekali gus dasar kerajaan dapat dibentuk dengan baik selama tempoh pemerintahan sesebuah kerajaan dengan pembubaran hanya selepas penggalnya tamat.
"Ini juga madani. Ertinya kita, kejelasan untuk rakyat urus kehidupan dan perniagaan ada kejelasan.
“Saya cadangkan kita wujudkan penggal tetap Parlimen supaya pentadbiran kerajaan jelas. Rakyat jelas untuk uruskan kehidupan dan perniagaan juga jelas (dengan perjalanan kerajaan).
“Apabila penggal Parlimen ditetapkan untuk lima tahun, tiada lagi teka-teki. Tiada yang nak tebuk atap atau ikut pintu belakang dan kerajaan yang diberi mandat dapat laksanakan tawaran, janji serta manifesto tanpa diganggu-gugat,” kata bekas menteri kesihatan itu ketika membahaskan usul titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum ini, Pakatan Harapan dalam manifesto PRU15 pernah berjanji untuk mewujudkan Akta Penggal Tetap Parlimen sekiranya mereka memenangi pilihan raya umum itu dan membentuk kerajaan.
Mengulas lanjut, Dzulkefly turut menegaskan penggal tetap itu hanya boleh dilaksanakan dengan mekanisme semak dan imbang yang kukuh.
Ini, katanya, bagi memastikan dakwaan penyelewengan dana yang berlaku ketika pentadbiran lalu tidak berulang.
Dia berkata ketiadaan semak dan imbang ketika Parlimen digantung semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, menyaksikan dakwaan penyelewengan dalam tadbir urus, pembelian dan perolehan, yang kini dalam semakan SPRM.