Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri: Lynas akan hilang lesen jika tak penuhi syarat sebelum Julai

Lesen Lynas mungkin dibatalkan jika gagal memindahkan kemudahan pemecahan dan larut lesap (cracking and leaching), yang menghasilkan sisa penulenan air larut lesap (WLP), keluar dari Malaysia sebelum Julai ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) Chang Lih Kang mengesahkan perkara itu ketika ditanya pemberita hari ini.

"Ya, sudah pasti, kerana jika Lynas gagal mematuhi syarat yang dikenakan ke atas mereka, lesen mereka boleh dibatalkan," kata Chang dalam sidang media di parlimen hari ini.

Dilaporkan semalam kerajaan telah memperbaharui lesen operasi untuk kilang pemprosesan Lynas di Gebeng, Kuantan selama tiga tahun, berkuat kuasa 3 Mac.

Bagaimanapun, lesen itu diperbaharui dengan syarat sama yang dikenakan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan pada 2020.

Syarat utama itu termasuk menempatkan semula kemudahan pemecahan dan larut lesap keluar dari Malaysia sebelum Julai ini, selepas itu ia tidak lagi dibenarkan mengimport lantanida pekat ke negara ini.

Satu lagi syarat utama ialah membina Kemudahan Pelupusan Kekal (PDF) untuk menyimpan sisa sedia ada sejak ia mula beroperasi pada 2012.

Chang juga berkata tiada insentif untuk Lynas mengimport lantanida pekat dari Australia atau mana-mana tempat lain ke Malaysia kerana matlamat syarat itu adalah untuk menghentikan semua pemecahan dan larut lesap di Malaysia.

“Intipati syarat adalah untuk menghentikan semua proses yang mungkin menghasilkan sebarang sisa radioaktif di Malaysia,” katanya.

Dia juga mengakui bahawa walaupun kemungkinan berlaku kehilangan pekerjaan, negara ini tidak dapat membenarkan Lynas meneruskan aktiviti pemecahan dan larut lesapnya "sehingga dan melainkan kita dapat menyelesaikan isu pengurusan sisa ini".

Pembinaan PDF masih dalam proses

Chang, yang juga naib presiden PKR, berkata pembinaan PDF yang terletak berhampiran kilang Gebeng masih dalam proses dan telah kira-kira 32 peratus siap.

“Terdapat kelewatan kerana lokasi pertama tidak diluluskan dan kemudian Covid-19 berlaku… jadi saya rasa 32 peratus (siap) adalah munasabah.

"Kami tidak dapat beritahu bila ia akan siap, tetapi ia berada di landasan yang betul," katanya.

Sementara itu, Lynas juga dalam proses membina loji pemecahan dan larut lesap di Kalgoorlie, Australia.

Kemudahan itu kira-kira 80 peratus siap dan menurut Chang dia yakin ia boleh disiapkan menjelang Julai 2023.

Chang mengakui jika mereka tidak dapat berbuat demikian, syarikat Australia itu masih boleh membuat rayuan untuk melanjutkan tarikh akhir.

Chang berkata Lynas sebelum ini merayu untuk menggugurkan syarat pembaharuan lesen berhubung aktiviti pemecahan dan larut lesapnya, tetapi rayuan itu ditolak.

Oleh itu, jika tidak dialih keluar pada 1 Julai, komponen pemecahan dan larut lesap loji Lynas Malaysia akan terpaksa menghentikan operasi.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS