Persatuan Usahawan Logistik Semenanjung Malaysia (Pulse) mahu memperkasa kerjaya pemandu sebagai satu profession yang mempunyai prospek untuk berkembang.
Presiden Pulse, Dr S Puvanesvary dalam satu pertemuan baru-baru ini berkata, Pulse amat peka dengan kebajikan dan profession pemandu lori atau trak dan mahu akreditasi diberi agar mereka boleh meneroka lebih banyak peluang.
“Ini merupakan antara agenda Pulse untuk tahun ini dan kami berharap ia dapat dibawa kepada pihak berwajib.
“Pemandu perlukan peluang pembangunan kerjaya agar mereka boleh dinaikkan pangkat misalnya menjadi penyelia dan pengurus atau diserap dalam bahagian lain seperti mekanik, juruteknik dan sebagainya. Ini agar kerjaya ini tidak bermula dan berakhir di satu tempat,” ujar Puvanesvary.
Justeru itu, Pulse akan berbincang dengan pihak berkuasa kerajaan dan institusi untuk memperkenalkan modul pembangunan kerjaya kepada pemandu.
Ia merupakan antara intipati Pulse yang ditubuhkan sebagai satu platform yang membawa isu serta cabaran usahawan logistik kecil dan sederhana dan mencari penyelesaian secara kolektif menerusi saluran yang betul.
Timbalan Presiden Pulse, Joshua Ravi pula mengakui hubungan pengusaha logistik kecil dan sederhana dan agensi kerajaan perlu dieratkan memandangkan ramai yang masih kabur atau kurang kesedaran dalam hal tersebut.
“Banyak bantuan dan sokongan yang disalurkan oleh agensi kerajaan kepada pengusaha logistik tetapi ia tidak sampai kepada mereka.
“Misalnya, SME Corp, Puspakom, MIDA dan sebagainya yang menyediakan pelbagai latihan dan kursus. PULSE mahu menyampaikan maklumat mengenainya kepada ahli,” ujar Joshua.
Di samping itu, Pulse juga menganjurkan pelbagai latihan dalaman melibatkan pelbagai bidang termasuk operasi, kewangan, pengurusan dan sebagainya yang menepati kehendak industri logistik.
Terkini, Pulse akan mengadakan satu sesi dialog bersama agensi-agensi kerajaan pada 18hb Februari 2023 di Shah Alam untuk membawa jalan penyelesaian kepada isu yang dihadapi usahawan logistik kecil dan sederhana terutama sekali selepas fasa pasca pandemik Covid-19.
“Kalau kita lihat, panaroma logistik sudah berubah selepas Covid-19. Isu kos melibatkan kenaikan harga bekalan seperti barangan pengganti automotif sekitar 20 hingga 30 peratus menekan pengusaha logistik daripada terus kekal dalam industri ini.
“Kami cuba bawa perkara ini kepada pihak berkuasa untuk mengkaji perkara ini dan dapatkan solusi yang sepatutnya,” kata Puvanesvary lagi.
Sesi dialog berdaftar itu dijangka dihadiri lebih 250 orang pemain industri logistik disertai hampir 10 agensi kerajaan.
