Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PBM umum barisan kepimpinan baru
Diterbitkan:  Feb 15, 2023 8:15 AM
Dikemaskini: 12:24 AM

Parti Bangsa Malaysia (PBM) mengumumkan barisan kepimpinan barunya semalam bagi memperkemas dan menyusun kembali organisasi parti setelah melalui proses “pembersihan” pasca-PRU15.

Pengumuman itu dibuat selepas berlaku perebutan kuasa dalam parti itu yang membawa kepada pemecatan calon presidennya Zuraida Kamaruddin dan 10 yang lain pada Disember tahun lalu, selain beberapa pemimpin tertinggi turut dilucutkan jawatan mereka.

Dalam satu kenyataan, Jabatan Penerangan dan Komunikasi PBM berkata, majlis tertinggi parti itu dalam mesyuaratnya pada 10 Feb memutuskan untuk melantik Steven Choong dan Wong anak Judat sebagai timbalan presidennya.

Mereka menggantikan bekas exco kerajaan Selangor Haniza Mohamed Talha yang dilucutkan jawatan pada Dis tahun lalu.

Parti itu menamakan Paul Yong sebagai naib presiden kanannya, Chua Lian Chye sebagai naib presiden, bekas Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat menjadi setiausaha agung dan Engga anak Unchat bendahari.

Masir menggantikan Nor Hizwan Ahmad, yang merupakan penyokong Zuraida.

Bekas Ketua Wanita PKR Sarawak, Agnes Padan pula dinamakan sebagai Ketua Wanita PBM yang baru.

Dia mengambil alih jawatan itu yang ditinggalkan penyandangnya Daroyah Alwi, yang turut dipecat pada Dis lalu.

Pada Okt tahun lalu berlaku perebutan kuasa dalam PBM apabila mesyuarat agung tahunannya memutuskan Zuraida - yang merupakan "presiden pengganti" parti itu - secara rasmi mengambil alih kepimpinan parti daripada presiden, Larry Sng.

Keputusan itu kemudiannya diluluskan oleh mesyuarat majlis tertinggi parti terbabit.

Bagaimanapun, Sng menegaskan yang dia masih presiden parti itu dan perkara itu turut disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Sng yang merupakan Ahli Parlimen Julau, kekal sebagai presiden parti itu selepas penstrukturan semula.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS