Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan Perintah Larangan terhadap tiga buah penerbitan bertajuk The Tale of Steven, Jacob’s Room To Choose dan ‘Aku’ selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan 2012).
KDN dalam kenyataan hari ini berkata Perintah Larangan itu dikeluarkan menerusi Warta Kerajaan PU (A) 24, 25 dan 26 bertarikh 20 Jan 2023.
Menurut KDN, perintah itu menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan tersebut adalah dilarang di seluruh negara.
“Ketiga-tiga penerbitan tersebut terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan kemoralan. Penerbitan ‘Aku’ didapati secara jelas mempunyai kandungan berunsur lucah dan tidak bermoral yang boleh memberi kesan buruk terhadap akhlak diri dan bertentangan dengan nilai kesopanan masyarakat Malaysia.
“The Tale of Steven dan Jacob’s Room To Choose pula didapati mempromosikan gaya hidup lesbian, gay, bisexual, and transgender (LGBT) dilihat sebagai satu bentuk ancaman terhadap nilai murni yang diajar agama dan didukung masyarakat Timur selama ini,” menurut kenyataan itu.
KDN berkata kerajaan komited mencegah penyebaran unsur-unsur yang memudaratkan kemoralan dalam kalangan masyarakat yang secara tidak langsung boleh menyumbang ke arah keruntuhan bangsa dan negara.
Menurut KDN, menjadi satu kesalahan bagi mana-mana individu mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada dalam milikannya bagi apa-apa jua maksud seperti itu apa-apa hasil penerbitan larangan.
“Berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 8(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan 2012), jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.
“Sekiranya masyarakat awam mendapati penerbitan di atas atau mana-mana penerbitan yang dikhuatiri melanggar undang-undang negara masih diedarkan di pasaran, boleh memanjangkan aduan ke Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, KDN di talian 03-88868047 atau faks 03-88891682,” menurut kenyataan itu.
Aduan juga boleh dilakukan melalui Sistem Pengaduan Awam Bersepadu KDN di laman sesawang http://moha.spab.gov.my.
- Bernama