Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Loke: Belum ada keputusan mansuh lesen memandu fizikal

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata Kementerian Pengangkutan masih belum membuat keputusan berhubung cadangan memansuhkan lesen memandu fizikal.

Mengakui ada di kalangan orang ramai mengeluh mengenai pelaksanaan digitalisasi terhadap Lesen Kenderaan Bermotor (LKM atau cukai jalan), Loke berkata dia dapat membayangkan reaksi mereka terhadap langkah digitalisasi lain.

“Reaksi yang kami (kementerian) jangkakan ialah tidak semua orang akan menyokong langkah ini kerana mereka mungkin dari kawasan luar bandar yang mempunyai masalah jaringan internet.

“Kami tidak mahu memaksa orang ramai untuk langkah digitalisasi ini.

"Untuk lesen dan cukai jalan, kami akan mengambil pendekatan tahap demi tahap," katanya.

Sebelum ini orang ramai dilaporkan tidak lagi perlu membawa lesen memandu fizikal kerana dokumen berkenaan boleh diperoleh secara dalam talian menerusi sebuah aplikasi khas.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Zailani Hashim, berkata aplikasi berkenaan sudah siap dibangunkan JPJ dan sedang menunggu 'lampu hijau' daripada Kementerian Pengangkutan.

Pada 10 Feb lalu, Loke mengumumkan pelekat Lesen Kenderaan Bermotor (LKM) atau lebih dikenali sebagai ‘road tax’, tidak lagi perlu dipamerkan pada cermin kenderaan persendirian.

Menurutnya, inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Pengangkutan untuk melaksanakan langkah digitalisasi dalam perkhidmatan teras JPJ, khususnya membabitkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Persendirian.

Sementara itu Bernama melaporkan mulai hari ini, pengguna yang ingin mendaftar dengan aplikasi MyJPJ perlu memasukkan nombor unique alphanumeric identifier yang tertera pada belakang lesen memandu masing-masing.

Loke berkata hal ini ekoran keputusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pagi ini untuk menambah satu lagi ciri pada aplikasi itu bagi meningkatkan tahap keselamatannya.

“Mereka yang sudah mendaftar melalui aplilasi MyJPJ tidak perlu memasukkan nombor berkenaan. Langkah keselamatan ini adalah untuk pengguna baharu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Arts of The Move initiated by Think City di MRT Pasar Seni di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Loke, JPJ meningkatkan ciri keselamatan itu susulan aduan sebelum ini bahawa pendaftaran aplikasi berkenaan hanya memerlukan nombor kad pengenalan dan ia boleh disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata nombor unique alphanumeric identifier berbeza bagi setiap lesen memandu yang dikeluarkan oleh JPJ.

Loke berkata pengguna yang tidak boleh menggunakan nombor kad pengenalan untuk mendaftar dalam MyJPJ berkemungkinan pernah menggunakan nombor kad pengenalan sama ketika mendaftar menerusi aplikasi MySikap atau JPJe-bid.

“Tidak boleh daftar guna kad pengenalan yang sama untuk kali kedua,” katanya.

Sebelum ini, Loke mengumumkan pemilik kenderaan persendirian tidak perlu lagi mempamerkan cukai jalan masing-masing berkuat kuasa serta-merta, sebaliknya hanya perlu menunjukkan dokumen berkenaan melalui aplikasi MyJPJ yang dibangunkan secara dalaman.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS