Seolah kebal dan tidak takut undang-undang, sebuah kilang memproses sisa elektronik (e-waste) yang pernah diserbu Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang pada 25 Januari lalu, terus beroperasi.
Kilang terletak di kawasan perindustrian Gebeng, dekat Kuantan itu, sekali lagi diserbu hari ini melalui operasi bersepadu diselaraskan pejabat ahli dewan undangan negeri (Adun) Beserah.
Operasi disertai kira-kira 30 pegawai dan anggota daripada JAS, polis, kastam, bomba dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja bermula jam 11 pagi tadi.
Kilang itu didapati menjalankan aktiviti peleraian e-waste yang dikategorikan sebagai bahan buangan terjadual mengikut Peraturan-peraturan Kualiti Alam sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS)1974.
Penjaga kilang itu pada mulanya enggan membuka kunci pagar utama kilang berkenaan hingga memaksa pihak berkuasa memotong kunci sebelum dia akur dan memberikan kerjasama.
Adun Beserah Andansura Rabu berkata kilang kitar semula itu dipercayai beroperasi awal tahun ini dan mengakibatkan pencemaran udara di kawasan berkenaan.
"Mereka membakar e-waste yang dipercayai dibawa masuk secara haram untuk mendapatkan bahan aluminium sebelum diproses menjadi jongkong.
"Kilang ini dikatakan beroperasi 24 jam tanpa henti dan kegiatan membakar e-waste bertambah rancak pada waktu malam," katanya ketika ditemui selepas operasi itu selesai.
Negara asal sampah e-waste
Pemeriksaan juga mendapati premis itu tidak mempunyai lesen daripada JAS mengikut Seksyen 18, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan beroperasi tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan.
Difahamkan pihak JAS Pahang sudah menyita lebih 600 guni mengandungi e-waste ketika operasi 25 Januari lalu, namun ketika pemeriksaan hari ini, semua pita sitaan diletakkan pada guni itu sudah ditanggalkan pekerja kilang terbabit.
Bagaimanapun, Andansura berkata dia tidak pasti negara asal e-waste itu.
"Saya dimaklumkan ia dibawa dari Pelabuhan Klang ke sini, cuma saya tidak ada maklumat dari negara mana dan taktik apa digunakan mereka sampaikan sisa berkenaan boleh sampai ke Pahang," katanya lagi.
Diugut ketika serbuan pertama
Unit Bahan Bahaya (Hazmat) Bomba Pahang yang turut serta dalam operasi itu memaklumkan pencemaran asap akibat pembakaran e-waste oleh kilang terbabit berada di tahap risiko rendah tapi berbahaya.
Semua pekerja kilang itu juga 'lesap' ketika pemeriksaan lanjut dijalankan di premis itu.
Hanya penjaga premis dan pemandu jentera ringan sahaja, keduanya warga tempatan, berada di kilang itu sepanjang operasi dijalankan.
Seorang anggota JAS Pahang memberitahu pihaknya diugut seorang lelaki yang mendakwa pemilik kilang itu ketika mereka melakukan serbuan kali pertama di premis terbabit pada pertengahan bulan lalu.
"Sebab itulah kami minta bantuan pejabat Adun Beserah dan juga pihak polis untuk bersama dalam operasi hari ini," katanya.
Dalam pada itu, kebanyakan guni mengandungi sisa elektronik ditemui di kilang itu dilabel sebagai 'Peanuts' dan 'Walnuts' dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa di pelabuhan.
Setiap guni dianggarkan mengandungi e-waste antara 800 kilogram hingga 1,000 kilogram.
Andansura berkata pihak JAS Pahang akan menggunakan kuasa mereka mengikut Akta Alam Sekitar untuk menutup terus kilang berkenaan.
Katanya, tindakan pendakwaan terhadap pemilik kilang itu juga akan dilakukan bagi memastikan kilang terbabit tidak lagi beroperasi.
"Kita pun tak tahu siapa pemilik sebenar kilang ini, jadi kena cari dulu pemilik untuk proses pendakwaan.
"JAS Pahang mempunyai kuasa untuk mengarahkan kilang ini menghentikan operasi serta-merta sehingga proses mahkamah selesai," katanya.