Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pembangkang dakwa kerajaan mahu senyapkan pengkritik

Pembangkang mendakwa mereka mempunyai bukti bahawa kerajaan sedang menggunakan kuasa untuk 'menutup mulut' pada pengkritik sekali gus menjaga kuasa mereka.

Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan mendakwa ada aktivis media sosial yang cenderung kepada PN menerima notis daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) yang meminta agar kata laluan untuk telefon pintar serta akaun Facebooknya diberikan.

Notis lain yang diterima, dakwa Wan Saiful, membabitkan rampasan telefon tangan serta kad SIM seseorang, serta aktivis yang dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak berkuasa.

"Seorang ahli Dewan Rakyat juga dipanggil pihak berkuasa kerana menerbitkan bahan dianggap tidak sesuai atau mencabar kerajaan.

"MP (ahli parlimen) pun dipanggil... mana kebenaran kata-kata menteri tadi bahawa mereka tidak menggunakan undang-undang dan agensi kerajaan untuk kepentingan diri?" katanya pada sidang media di bangunan parlimen hari ini.

Terdahulu Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil memberitahu Dewan Rakyat pagi tadi, kerajaan tidak akan meminta mana-mana penyedia platform media sosial untuk menyekat akaun penggunanya.

Sebaliknya, kata Fahmi, perbincangan dengan pihak berkepentingan termasuk platform media sosial membawa kepada sekatan ke atas kandungan tertentu, bukannya pemilik akaun secara individu.

Fahmi juga berkata, sebanyak 197 kandungan - termasuk 101 di TikTok - telah diturunkan dari platform media sosial sepanjang bulan lalu.

Kata Wan Saiful sulit untuk dia mempercayai janji Fahmi yang menyatakan tindakan tapisan itu adalah untuk menjaga perpaduan rakyat.

"Saya sukar nak percaya jawapan menteri kerana saya ada bukti kerajaan menggunakan kuasa, mempergunakan agensi penguatkuasa bukan untuk jaga rakyat tetapi jaga diri sendiri dan kerajaan," katanya.

Justeru ahli parlimen Tasek Gelugor itu menuntut kerajaan memastikan tiada sekatan dikenakan terhadap kebebasan bersuara di negara ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS