Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bunuh pengawal peribadi: Bekas pegawai kanan polis Indonesia dihukum mati

GLOBAL | Mahkamah mendapati Ferdy Sambo arahkan pengawal peribadi yang lain untuk menembak dan membunuh Nofriansyah dan dia turut melepaskan tembakan ke arah mangsa.

Bekas ketua hal ehwal pasukan polis Indonesia dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah merancang pembunuhan pengawal peribadinya pada 8 Julai tahun lalu.

Ferdy Sambo, 50, juga didapati bersalah kerana menghalang keadilan dengan mengarahkan supaya rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipadamkan, kata ketua panel hakim Wahyu Iman Santoso.

Beliau berkata bekas jeneral itu didapati bersalah dan mahkamah mendapati tindakannya telah mencemarkan imej pasukan polis.

Tindakan Ferdy telah menimbulkan kerisauan dalam kalangan masyarakat awam dan sebagai pegawai penguatkuasa undang-undang dia tidak sepatutnya bertindak sedemikian, kata Wahyu dalam penghakiman yang disiarkan secara langsung di televisyen tempatan hari ini.

Mahkamah Daerah Jakarta Selatan juga menolak hujah pembelaan bahawa pengawal peribadi Nofriansyah Yosua Hutabarat telah melakukan gangguan seksual terhadap isteri Ferdy, berikutan kekurangan bukti.

Mahkamah mendapati Ferdy telah mengarahkan pengawal peribadi yang lain untuk menembak dan membunuh Nofriansyah dan dia turut melepaskan tembakan ke arah mangsa dalam kejadian yang berlaku di kediaman rasminya di Jakarta Selatan.

Dia dipecat pada 25 Ogos 2022 manakala isterinya, Putri Candrawathi dan tiga lagi pembantu turut didakwa atas tuduhan terbabit dalam pembunuhan yang dirancang.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS