story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Penebangan hutan: Orang Asal Sarawak rayu Raja Charles
Diterbitkan:  Feb 13, 2023 5:41 PM
Dikemaskini: 9:41 AM

Masyarakat Orang Asal dari Sarawak merayu kepada Raja Charles III berhubung isu penebangan hutan di Kawasan Hutan Ulu Baram.

Wakil masyarakat itu menulis surat kepada raja British, yang dihantar ke Istana Buckingham bulan lalu.

“Wakil dari pertubuhan masyarakat sivil Sarawak, Save Rivers dan Keruan mengetuai perarakan ke Istana Buckingham untuk menyampaikan surat meminta Raja Charles memberi sokongan.

"Sebagai pengimport ketiga terbesar kayu yang diperakui oleh Skim Pensijilan Kayu Malaysia, United Kingdom mempunyai kuasa dan tanggungjawab untuk menghapuskan kayu dari Malaysia yang merosakkan (alam sekitar) daripada rantaian bekalannya," kata kumpulan itu pada satu kenyataan hari ini.

Walaupun Charles tidak dapat mempengaruhi reformasi perundangan di Malaysia, kumpulan itu berkata masyarakat Orang Asal Sarawak mengharapkan sokongan simboliknya.

Kumpulan itu berkata Raja Charles mempunyai latar dalam kegiatan pro alam sekitar yang kuat dan menyedari bahaya penebangan hutan.

Ia memetik kebimbangan Charles terhadap perubahan iklim ketika Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP26) pada November 2021 diadakan di Glasgow.

Kenyataan itu dikeluarkan Save Rivers, The Borneo Project dan Bruno Manser Fund (BMF) yang berpangkalan di Switzerland.

Selain mendapatkan sokongan Charles, kumpulan itu berkata wakil itu juga menjemputnya untuk melawat Kawasan Hutan Ulu Baram.

Surat kepada Istana Buckingham telah ditandatangani oleh empat komuniti Lembangan Sungai Baram.

“Kami menulis dari kawasan Baram, rumah kami di hutan hujan.

“Alasan untuk kami menghantar surat ini ke seberang dunia adalah sangat serius: masyarakat kami menderita akibat kemusnahan hutan hujan.

“Kami mengetahui bahawa sebahagian daripada kayu ini sampai ke rumah anda semua, di UK.

"Kami ingin menjemput anda untuk melawat kawasan kami dan merasai sendiri kekayaan hutan kami dan kesan kehilangan hutan," baca surat itu.

Masyarakat Ulu Baram telah berjuang menentang pembalakan dan penebangan hutan yang telah menceroboh tanah adat Orang Asal yang diiktiraf.

Pada 2010, 18 komuniti Penan di Ulu Baram telah memulakan cadangan untuk mewujudkan kawasan hutan untuk mengatasi cabaran masa depan berkaitan pemilikan tanah dan meningkatkan mata pencarian dengan membangunkan pendapatan alternatif dengan cara yang mesra alam.

Konsep ini merangkumi aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar, serta menunjukkan keinginan penduduk tempatan untuk memulihara, mengurus hutan dan sumber secara mampan untuk manfaat semua.

Taman yang dicadangkan itu meliputi kawasan seluas kira-kira 283,500 hektar, terdiri daripada hutan primer, hutan balak, hutan sekunder, kawasan penempatan dan tanah pertanian.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS