Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lynas: Tiada makluman isu pembaharuan lesen loji Kuantan
Diterbitkan:  Feb 13, 2023 5:29 PM
Dikemaskini: 9:29 AM

Lynas Rare Earths Limited masih belum dimaklumkan mengenai keputusan kerajaan mengenai lesen kilang pemprosesannya di Gebeng, Kuantan, yang akan tamat tempoh pada 2 Mac.

Syarikat itu menjawab laporan Malaysiakini Sabtu lalu bahawa pembaharuan itu dijangka merangkumi dua syarat utama seperti yang ditetapkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2019.

"Lynas Rare Earths Ltd maklum spekulasi media baru-baru ini mengenai syarat yang terpakai untuk pembaharuan lesen operasi Lynas Malaysia.

“Pada masa ini, syarikat belum dimaklumkan mengenai sebarang keputusan oleh pengawal selia Malaysia dalam perkara ini,” kata Lynas dalam satu kenyataan hari ini..

Salah satu syaratnya ialah memindahkan kemudahan "meretak dan larut lesap", yang menghasilkan sisa Penjernihan Lesap Air (WLP) radioaktif, di luar Malaysia sebelum Julai 2023.

Syarat lain ialah agar Lynas membina kemudahan pelupusan kekal (PDF).

Lesen untuk Lynas telah menjadi topik panas buat PH dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang baru Chang Lih Kang daripada PKR.

Malaysiakini difahamkan bahawa menteri dan kabinet berbelah bagi antara tekanan daripada kuasa asing dan jangkaan dalam PKR serta pengundi.

Sumber mendedahkan kerajaan AS, Australia dan Jepun "prihatin" dengan perkembangan sama ada lesen itu akan diperbaharui atau tidak.

Produk nadir bumi yang dihasilkan oleh Lynas adalah sumber strategik antarabangsa untuk AS, Australia dan Jepun, digunakan dalam pembuatan telefon pintar, kereta elektrik, enjin untuk jet tentera dan lain-lain.

China ialah pembekal terbesar nadir bumi, dengan 60 peratus bahagian pengeluaran global manakala pembekal lain termasuk AS, Myanmar, Australia dan Madagascar.

Apabila perang perdagangan antara AS dan China memuncak, AS dan sekutunya bimbang tentang industri pemprosesan nadir bumi di luar China, termasuk di Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS