Seorang anggota polis berpangkat koperal didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, atas dua pertuduhan berhubung penyeludupan 29 pendatang tanpa izin (Pati) warga Myanmar pada 16 Januari lalu.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh Syed Shaifful Amri Syed Solihuddin, 38 didakwa menjalankan penyeludupan migran iaitu tujuh lelaki dan enam perempuan warga Myanmar.
Kesalahan itu dilakukan di dalam sebuah van di hadapan Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan di Tunjong jam 1.30 pagi pada 16 Januari lalu.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menjalankan penyeludupan migran iaitu 15 lelaki dan seorang wanita warga Myanmar di dalam sebuah rumah inap desa di Jalan Pintu Geng, di Kota Bharu, pada jam 9.45 pagi 16 Januari lalu.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26B(d) Akta Atipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang mana ia kesalahan keselamatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.
Kesalahan itu memperuntukan hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan boleh dikenakan sebat.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nursyafiqah Mohamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 22 Mac sebagai tarikh deposisi iaitu keterangan migran.