Paling Popular
Terkini

Seorang rakyat Singapura sekali lagi memfailkan tindakan undang-undang terhadap penangkapan tidak sah terhadapnya pada 2018.

Menamakan ketua polis negara sebagai responden tunggal, Wong Chun Khuen antaranya memohon perintah mandamus untuk memaksa ketua polis negara menerima, menyiasat dan bertindak terhadap aduannya.

Dia juga memohon kos dan sebarang relief yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Ketika dihubungi Malaysiakini, peguamnya Arun Kasi mengesahkan bahawa tindakan undang-undang itu difailkan pada 5 Januari lalu.

Pada 16 November lalu, Wong mendapat pampasan RM50,000 daripada Jabatan Imigresen Malaysia berhubung penahanannya oleh pihak imigresen.

Ini merupakan kemenangan kedua di mahkamah yang diperoleh pesara jurutera itu dalam cabaran undang-undangnya.

Dalam kemenangan pertama pada 5 Mei tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan bahawa penahanan Wong dari 14 hingga 26 Mac 2018, tidak sah.

Mahkamah mendapati Wong tidak dibawa ke hadapan majistret dalam tempoh 14 hari selepas ditangkap.

Dia ditahan oleh pegawai imigresen bersama beberapa warga asing lain ketika serbuan di rumahnya di Johor Bahru pada 28 Feb 2018 dan dibawa ke Pusat Tahanan Setia Tropika pada 1 Mac 2018 dan ke Pusat Tahanan Pekan Nanas dua hari selepas itu.

Wong kemudian dihadapkan ke mahkamah majistret pada 26 Mac tahun sama, mengaku bersalah bawah Seksyen 55E Akta Imigresen dan membayar denda RM30,000.

Bagaimanapun, dia tidak dibebaskan serta-merta tetapi ditahan lapan hari lagi di Penjara Kluang dan kemudian di depot Imigresen Pekan Nanas sebelum dibebaskan pada 4 April 2018.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS