Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Seruan reformasi sektor awam: MP PKR bela Ramasamy
Diterbitkan:  Feb 13, 2023 9:00 AM
Dikemaskini: 1:00 AM

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim tampil membela Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy yang dikecam susulan kenyataannya mengenai sektor perkhidmatan awam baru-baru ini.

Hassan berkata sebagai orang Melayu, dia tidak berasa terancam dengan gesaan Ramasamy agar sektor perkhidmatan awam yang didominasi oleh orang Melayu diperbaharui.

"Adalah fakta bukan tohmahan bahawa pada waktu sekarang 90 peratus anggota penjawat awam daripada seramai 1.2 juta orang itu terdiri daripada kaum Melayu. Dominasinya agak besar. Inilah yang jadi isu kepada Dr Ramasamy.

"Penulis kenal lama Dr Ramasamy ini sejak beliau seorang pensyarah universiti. Niatnya baik membawa isu ini kepada perhatian Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

"Dr Ramasamy tidak menimbulkan isu perkauman.Dia meminta reformasi bukan revolusi terhadap sektor perkhidmatan awam supaya kelihatan lebih adil, lebih seimbang bagi sebuah negara Malaysia yang adil dan madani," katanya dalam catatan di Facebook, semalam.

Hassan juga berkata hak Ramasamy bercakap untuk keadilan kepada rakyat bukan Melayu di negara ini perlu dihormati.

Tambahnya, Ramasamy juga secara konsisten menjadi penyokong reformasi agenda yang diperjuangkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

"Janganlah kerana beliau berani bercakap dan lantang bersuara maka kita minta beliau dipecat dan disingkirkan dari jawatanya.

"Dalam hal ini, sikap Perdana Menteri Anwar Ibrahim patut dipuji apabila beliau mempertahankan hak Dr Ramasamy bersuara.

"Saya percaya perdana menteri mendengar dan meneliti pandangan yang disuarakan oleh sesiapa juga, termasuklah Dr Ramasamy," katanya.

Anwar sebelum ini berkata kenyataan Ramasamy mengenai perkhidmatan awam adalah pendapat peribadinya dan tidak mewakili partinya atau kerajaan.

Pengerusi PH itu juga berkata kerajaan tidak melihat penguasaan orang Melayu terhadap perkhidmatan awam sebagai satu isu.

Hassan berkata dia memahami pandangan Anwar yang sedang berhadapan dengan terlalu banyak cabaran dan menggesa kesabaran daripada semua pihak.

"Politik Malaysia ini ibarat padang di medan perang yang banyak bom perangkap samar. Salah melangkah maka boleh terpijak bom dan meletup. Anwar faham sangat dalam perkara ini,” katanya.

Ramasamy sebelum ini menggesa sektor perkhidmatan awam yang "dimonopoli" kaum tertentu diperbaharui.

Kenyataan itu menimbulkan kecaman termasuk daripada kalangan pemimpin PH. Ramasamy sejak itu berkata pandangannya itu tidak mewakili parti dan merupakan pandangan peribadinya sendiri.

Mereka yang menyerangnya termasuk Ketua Penerangan Pemuda PKR Pulau Pinang Abshar Nurasyra dan ahli jawatankuasa pusat Amanah Mohd Sany Hamzan, yang kedua-duanya menggesa kerajaan negeri dan DAP memecat Ramasamy.

Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin juga telah membidas Ramasamy, dengan berkata kenyataan itu adalah satu penghinaan kepada orang Melayu dan perkhidmatan awam.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke sejak itu mengucapkan terima kasih kepada sekutu mereka atas gesaan mereka untuk bertindak terhadap Ramasamy.

Bagaimanapun, Loke berkata parti itu mempunyai cara tersendiri melalui saluran dalaman parti untuk menangani Ramasamy.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS