Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Banjir lumpur di Bukit Tinggi, Janda Baik
Diterbitkan:  Feb 12, 2023 8:54 PM
Dikemaskini: Feb 13, 2023 12:32 AM

Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman dan Adun Ketari Thomas Su bergegas ke kawasan mereka hari ini berikutan laporan banjir di Bukit Tinggi dan Janda Baik.

Dalam catatan Facebook hari ini, Syefura berkata polis Bukit Tinggi telah memaklumkan bahawa air semakin surut tetapi penduduk masih dinasihatkan agar berhati-hati.

“Untuk makluman awal berlaku banjir lumpur dan jalan terputus hubungan di FT68 Sec 43.4, laluan lama bentong KL, selepas laluan naik ke Janda Baik.

"Laluan akan ditutup untuk semua kenderaan," katanya.

Ketika laporan ini ditulis, Syefura dan Su sedang memantau keadaan di lapangan, berdasarkan strim langsung di Facebook mereka.

Sementara itu Bernama melaporkan hujan lebat menyebabkan 15 premis perniagaan dan lima rumah di Bukit Tinggi serta Janda Baik di Bentong dilanda fenomena kepala air petang semalam. 

Pegawai Pertahanan Awam (APM) Daerah Bentong Leftenan (PA) Azizah Husain berkata pihaknya dimaklumkan insiden di Bukit Tinggi berlaku pada kira-kira 6 petang. 

"Kejadian berlaku selama hampir sejam dan penduduk mula membersihkan premis perniagaan dan rumah mereka kerana disaluti lumpur yang dibawa kepala air sekitar 7 malam," katanya.

Kerja pembersihan turut dibantu oleh pihak berkuasa termasuk APM, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Azizah berkata insiden tidak melibatkan mangsa dan tiada pusat pemindahan sementara dibuka. 

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya Bentong melalui media sosial memaklumkan laluan FT68 di jalan lama Kuala Lumpur-Bentong berhampiran simpang Janda Baik ditutup sementara kepada semua kenderaan kerana berlaku runtuhan sepanjang 100 meter. 

Orang ramai boleh menggunakan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak sebagai laluan alternatif.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS