Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nazri personaliti sesuai jadi duta Malaysia ke AS - Zahid
Diterbitkan:  Feb 12, 2023 5:33 PM
Dikemaskini: 9:33 AM

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata bekas ahli parlimen Umno Nazri Aziz merupakan personaliti yang sesuai untuk menjadi duta Malaysia ke AS.

Zahid juga mengesahkan bahawa pencalonan Nazri untuk jawatan itu dibuat oleh kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.

Presiden Umno itu juga menyatakan keyakinannya terhadap kemampuan Nazri mewakili negara dan menguruskan tugas sebagai duta.

"(Nama Nazri diketengahkan) semasa pentadbiran PM9," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, merujuk kepada Ismail Sabri.

Ditanya sama ada Umno atau BN yang mencadangkan Nazri untuk jawatan itu, Zahid berkata ia adalah keputusan kerajaan ketika itu.

Zahid juga berharap Nazri dapat membantu memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Laporan Pemerdagangan Manusia AS.

“Dia mempunyai personaliti yang sesuai untuk menjadi diplomat tertinggi Malaysia ke AS.

“Sebelum ini kita ada beberapa tokoh yang dilantik ke jawatan itu seperti Allahyarham Jamaluddin Jarjis, Awang Adek Hussin dan sebagainya yang berjaya merapatkan hubungan antara kerajaan AS dan Malaysia,” katanya.

“Saya percaya (Perdana Menteri) Anwar Ibrahim akan melawat AS, dan saya percaya Nazri mampu mengatur dan juga mengadakan pertemuan penting antara perdana menteri dan pemimpin tertinggi kerajaan AS, serta pemimpin korporat di AS .

“Saya juga berharap (Nazri akan dapat membawa Malaysia) mencapai tahap (lebih baik) untuk rakyat kita melawat AS, kerana sebelum ini kedudukan negara kita diturunkan ke Tahap (peringkat) 3, tetapi kita berjaya naik semula ke Tahap 2. Saya harap Nazri akan dapat mengangkat kedudukan kita ke Tahap 1,” katanya.

Zahid dipercayai merujuk kepada kedudukan Malaysia dalam Laporan Tahunan Pemerdagangan Manusia (TIP) AS.

Kedudukan Malaysia telah jatuh ke Tahap 3 pada 2021, dan kekal pada 2022. Kedudukan tahun ini belum dikeluarkan.

Walaupun kedudukan TIP boleh membawa kepada sekatan, pada masa ini tiada kesan ke atas kemasukan rakyat Malaysia ke AS.

Nazri sebelum ini berkata proses pekerja asing dibawa masuk ke Malaysia mungkin menjadi punca di sebalik kedudukan TIP yang rendah.

Pada Khamis, Kementerian Luar Negeri mengumumkan bahawa Nazri telah dilantik sebagai duta Malaysia ke AS.

Dalam satu kenyataan, ia berkata Yang di-Pertuan Agong telah menyampaikan surat tauliah kepada Nazri dan sembilan lagi ketua perwakilan diplomatik semasa istiadat yang diadakan di Istana Negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS