Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DAP ada cara sendiri tangani isu babitkan Ramasamy - Loke

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata dia mengormati gesaan pemimpin komponen Pakatan Harapan (PH) supaya tindakan diambil terhadap Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy.

Ia berikutan kenyataan pemimpin DAP Pulau Pinang itu supaya Perdana Menteri memecahkan dominasi orang Melayu dalam sektor perkhidmatan awam.

Bagaimanapun, kata Loke, DAP akan menggunakan saluran dalaman dan pendekatan sendiri dalam menangani isu itu.

Bercakap pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, Loke, yang juga Menteri Pengangkutan, berkata dia juga ingin mengingatkan pemimpin DAP bahawa mereka kini sebahagian daripada kerajaan.

"Apa sahaja pandangan yang dibuat oleh rakan-rakan (sekutu), saya berterima kasih kepada mereka. Tetapi DAP ada cara kita sendiri dalam menangani isu dalaman kita," katanya ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ramasamy yang turut menerima kecaman daripada pemimpin PH.

Ditanya apakah DAP akan mengambil tindakan terhadap Pengerusi DAP Pulau Pinang itu, Loke berkata:

"Kami mempunyai cara kami untuk melakukan sesuatu dalam parti kami. Kami akan menangani sebarang isu menggunakan saluran DAP dan pendekatan kami sendiri," katanya.

Menteri Pengangkutan itu bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Konvensyen DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2022, yang diadakan di ibu pejabat parti itu di Jalan Pudu pagi tadi.

DAP bukan lagi parti pembangkang’

Dalam ucapan pelancarannya, Loke memberitahu perwakilan parti bahawa DAP kini sebahagian daripada kerajaan dan mereka mesti menyesuaikan diri untuk menjadi parti pemerintah.

Ini termasuk mengubah minda sebagai pembangkang yang telah terbiasa dengan parti itu sejak beberapa dekad lalu.

"Kita pada hari ini tidak boleh lagi bertindak sebagai sebuah parti pembangkang kerana kita adalah parti kerajaan, parti yang memerintah, bukan saja di peringkat persekutuan, malah kebanyakan negeri. Jadi paradigma kita mesti berubah.

"Kerana peranan parti kerajaan adalah tadbir negara, selesai masalah kepada masalah-masalah yang timbul. Tak cukup lagi hanya untuk menyatakan masalah, bangkitkan masalah," katanya.

Bercakap kepada pemberita, Loke memberitahu ucapannya adalah untuk mengingatkan pemimpin DAP mengenai perubahan dalam peranan mereka sebagai sebahagian daripada kerajaan.

Menurut pemimpin DAP itu, tiada gunanya ahli dan pemimpin parti mencipta kontroversi kerana ia tidak akan membawa mereka ke mana-mana.

“Pada saya, jika ada mana-mana pemimpin yang menimbulkan polemik dalam masyarakat kita, terutama setelah memahami suasana politik negara, mereka bersikap tidak produktif.

"Ia sama sekali tidak produktif dan tidak akan membawa kita ke mana-mana. Jadi inilah yang saya maksudkan tentang mengubah minda kita," tambahnya.

Ramasamy yang merupakan timbalan pengerusi DAP Pulau Pinang baru-baru ini menulis di Facebook dengan mengatakan sektor perkhidmatan awam kini memerlukan reformasi.

Tegasnya, hujah lama yang memihak kepada penguasaan orang Melayu dalam perkhidmatan awam untuk mengimbangi penguasaan ekonomi kaum Cina, tidak lagi terpakai.

Kenyataan itu menimbulkan kritikan, bukan sahaja daripada pembangkang tetapi juga daripada pemimpin parti komponen PH sendiri.

Mereka termasuk ketua penerangan Pemuda PKR (AMK) Pulau Pinang Abshar Nurasyraf dan ahli jawatankuasa pusat Amanah Mohd Sany Hamzan, yang menggesa kerajaan negeri dan DAP memecat Ramasamy.

Ramasamy bagaimanapun mengatakan pandangannya dibuat atas kapasiti peribadi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS