Loji rawatan air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan LRA Rantau Panjang kembali beroperasi pada jam 6.30 pagi tadi selepas terpaksa ditutup akibat pencemaran bau.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan insiden pencemaran bau itu dikesan di LRA Rantau Panjang menyebabkan 1,337 kawasan terjejas dan pulih secara berperingkat sejak awal pagi tadi.
"Tempoh masa pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.
"Air Selangor terus giat menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan yang terlibat bagi memberikan bantuan bekalan air kepada pengguna yang terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian di sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini," kata Air Selangor dalam kenyataan di Facebook.
Kawasan terjejas terdiri daripada lapan wilayah Air Selangor iaitu Petaling (370 kawasan), Kuala Lumpur (186 kawasan), Gombak (279 kawasan), Hulu Selangor (28 kawasan), Klang dan Shah Alam (189 kawasan), Kuala Langat (3 kawasan) dan Kuala Selangor (280 kawasan).
Sementara itu Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor Hee Loy Sian berkata Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mengenal pasti punca pencemaran adalah tumpahan diesel daripada jentera berat yang ditemui di tebing sungai Sungai Selangor, sekitar 3km dari LRA Rantau Panjang .
"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi memastikan masalah itu diselesaikan sepenuhnya di lapangan.
"Luas juga telah menjalankan kerja-kerja persampelan untuk tujuan tindakan undang-undang selanjutnya," kata Hee.