Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Ketika kempen, ayah saya hadir hampir semua ceramah'

WAWANCARA | Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan bukanlah seorang yang gentar untuk memilih haluan yang berbeza, namun apabila tersiarnya berita anak bekas ketua pengarang Utusan Melayu Johan Jaffar itu menyertai DAP, ia menimbulkan persoalan bagaimana bapanya akan menerima berita tersebut.

Syahredzan berkata dia sendiri pada mulanya tidak pasti bagaimana bapanya akan menanggapi perkara itu.

Namun kini dia boleh menganggap bapanya adalah antara penyokongnya yang paling kuat.

“Semasa saya mula-mula menyertai parti politik iaitu DAP pada 2018, saya tidak beritahu sesiapa, cuma isteri dan kawan rapat. Tetapi selepas saya dilantik sebagai setiausaha politik Lim Kit Siang, ketika itulah berita itu tersebar.

“Jadi, ramai yang ingin tahu. Ketika itu saya fikir ayah saya mungkin tidak mahu saya sertai politik. Tetapi apabila saya syertai politik, dia tidak ada masalah dengannya, dia juga tiada masalah saya sertai DAP.

“Dia beri sokongan penuh dan apabila saya beritahu ibu bapa saya yang saya mungkin bertanding dalam PRU15, mereka sama-sama datang di hari penamaan calon. Dan ayah saya datang ceramah setiap malam, kecuali sekali ketika dia ada acara lain. Dia luangkan masa untuk beri sokongan kepada saya.

Johan Jaafar

“Saya amat bersyukur kerana dapat sokongan keluarga terdekat dan keluarga besar. Saya juga mesti sebut tentang sokongan yang diberikan isteri saya. Ada kala keadaan kelihatan agak menekan dan sukar terutamanya semasa kempen, dengan serangan peribadi.

"Isteri saya bersama pada setiap masa dan beri saya kekuatan untuk terus mara dan tamatkan perlawanan ini,” katanya yang pertama kali menjadi ahli parlimen, dalam wawancara bersama Malaysiakini di pusat khidmatnya.

Syahredzan yang juga seorang peguam turut mengharapkan beberapa pembaharuan perundangan yang positif dapat direalisasikan dalam penggal ini.

Pada masa sama, dia berkata ramai yang memahami bahawa pentadbiran sekarang bukan kerajaan PH, maka ada beberapa perkara dalam manifesto gabungan itu yang sukar untuk diteruskan.

“Tetapi ada perkara yang kita boleh dapatkan kata sepakat dengan pihak lain dalam kerajaan. Contohnya, pemisahan jawatan dan peranan Pendakwa Raya dan Peguam Negara. Begitu juga dengan pindaan undang-undang kerakyatan anak kepada wanita rakyat Malaysia dan pasangan warga asing yang lahir di luar negara.

“Saya fikir kita boleh dapatkan kata sepakat, sekurang-kurangnya untuk benar-benar meneliti semula undang-undang seperti Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia," katanya.

Seksyen 233 akta tersebut antara lain berkenaan kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian, melibatkan hantaran dan kandungan yang bersifat "lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik" untuk "menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau menggangu orang lain".

Syahredzan berkata ia merupakan undang-undang yang boleh disalahgunakan kerana tafsirannya terlalu luas.

Harapannya adalah untuk melihat seksyen tersebut dipinda terutama dalam soal kandungan yang "menyinggung perasaan" serta "untuk menyakitkan hati", yang menurutnya terlalu luas dan boleh disalahgunakan untuk kepentingan politik.

Pemansuhan hukuman mati

Mengenai pemansuhan hukuman mati mandatori, Syahredzan menceritakan perubahan pandangannya mengenai perkara itu.

“Pandangan peribadi saya telah melalui perubahan. Sebelum ini, saya tidak pasti. Pada mulanya saya fikir untuk jenayah tertentu, anda masih perlukan hukuman mati. Tetapi apabila saya terlibat dengan aktivisme, pandangan saya adalah negara tidak berhak untuk mencabut nyawa seseorang.

"Negara sepatutnya melindungi nyawa, jadi bila negara diberi kuasa untuk mencabut nyawa, ia jadi bermasalah. Pada masa sama, usaha untuk pemansuhan hukuman mati sepenuhnya memerlukan pendidikan dan kesedaran kerana masih ramai mahukan hukuman mati untuk jenayah tertentu, terutama bunuh dan malah pengedaran dadah.

“Ada banyak sentimen dan kebimbangan dan kita tak boleh ketepikannya. Ia perlu banyak wacana. Pengumuman baru-baru ini bahawa kita sedang menimbang untuk mansuhkan hukuman mati mandatori untuk kesalahan tertentu adalah dialu-alukan.

"Saya fikir, mengembalikan kuasa kepada hakim untuk memutuskan sama ada untuk menjatuhkan hukuman mati atau tidak sekurang-kurangnya satu langkah yang betul," katanya lagi.

Walaupun kebebasan bersuara adalah prinsip penting yang begitu dekat dengannya, Syahredzan tidak menentang undang-undang untuk menyekat ucapan kebencian dan hasutan.

Dia berpandangan perundangan berhubung kebencian kaum dan agama perlu ada, tetapi hanya jika Akta Hasutan dimansuhkan.

“Di manakah anda letakkan sempadan antara kebebasan bersuara dan ucapan kebencian? Memiliki sikap perkauman tidak sepatutnya dijadikan jenayah, tetapi pada masa yang sama jika anda mempromosikan kebencian agama atau kaum, dan ia memang mengancam keselamatan dan keharmonian negara, maka undang-undang harus digunakan.

"Sekarang, kita sudah ada Akta Hasutan jadi kita tak perlukan undang-undang lain berkenaan ucapan. (Kalau ditambah undang-undang lain), ia beri negara terlalu banyak kuasa. Jadi mansuhkan Akta Hasutan dan ganti dengan undang-undang dengan tujuan khusus untuk membasmi ekstremisme kaum dan agama, dan undang-undang itu tidak boleh ada ruang untuk disalah guna pihak berkuasa.

"Tetapi saya perlu katakan saya tak akan pergi sejauh mengharamkan parti politik yang menggunakan kaum dan agama," katanya lagi.

Bahagian 1: Syahredzan: Keputusan di luar jangka beri peluang M'sia bergerak ke depan

Bahagian 2: Syahredzan tak gentar jadi wakil kawasan Parlimen terbesar


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS