Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sistem IDME: Pegawai KPM akan ke sekolah seluruh negara bantu guru

Kementerian Pendidikan (KPM) akan menggerakkan pegawainya ke sekolah di seluruh negara bagi membantu melancarkan penggunaan sistem Pengurusan Identiti (IDME) oleh guru dengan lebih berkesan, dalam waktu terdekat.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata satu sesi libat urus bersama wakil guru juga telah diadakan semalam di kementeriannya bagi membincangkan perkara tersebut, sekali gus menangani segera beberapa masalah daripada sistem itu yang didakwa menyukarkan guru.

“Kita tidak kompromi mengenai sistem ini, ia isu lama...kita akan turun ke negeri-negeri yang akan dipimpin pegawai negeri dan daerah untuk bantu guru (gunakan sistem IDME). Kita dah ambil beberapa langkah drastik sebenarnya (untuk atasi).

“Saya juga arahkan sistem ini ditangguh sementara hujung minggu ini supaya semua pihak boleh bertenang di samping kita ambil langkah tertentu, Isnin nanti kita umumkan langkah baru,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Bakat Prasekolah Peringkat Negeri Sembilan 2023 di Seremban, Negeri Sembilan hari ini.

Hari ini, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) dilaporkan meminta KPM menangguhkan penggunaan IDME yang belum stabil, selain mendakwa ia belum sesuai digunakan untuk membuat pengisian markah Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA).

IDME yang dibangunkan KPM, diakses secara single sign on iaitu secara tunggal melalui laman webnya dan kesemua warga pendidik yang mengisi UASA serta Pentaksiran Bilik Darjah mesti melalui sistem tersebut, iaitu mereka perlu mendaftar masuk.

Dalam pada itu, Fadhlina sekali lagi mengulangi bahawa takwim persekolahan akan dikembalikan semula kepada Januari, tetapi bukan pada waktu terdekat berikutan perlu mengambil kira justifikasi yang perlu diselesaikan mengikut Akta Pendidikan 1996 selain isu ekonomi dan beban kerja guru.

“Kita kekal konsisten, kita akan kembali (pada Januari) tetapi bukan sekarang kerana ia melibatkan isu kitaran kanak-kanak yang perlu habis, bilangan hari persekolahan tidak boleh kurang daripada 190 hari...termasuk isu sampingan lain yang perlu diberi perhatian sehingga kita boleh bermula pada Januari,” katanya.

Sementara itu, Fadhlina meminta supaya pihak sekolah tidak membawa masuk unsur campur tangan politik dalam sebarang program atau acara di institusi berkenaan termasuk menggunakan logo parti politik pada sepanduk atau poster.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS