Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelantikan Nazri dibuat hampir setahun lalu, kata PM

Pelantikan Nazri Aziz sebagai duta ke AS dibuat hampir setahun lalu, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini.

Bagaimanapun, kata Anwar pelantikan bekas menteri Umno itu diumumkan baru-baru ini kerana pihak berkuasa AS mengambil masa kira-kira enam bulan untuk meluluskan pelantikan itu.

"Pelantikan (Nazri) dibuat hampir setahun lalu, dan AS mengambil masa enam bulan untuk meluluskannya," kata perdana menteri itu.

Anwar menjawab kritikan berhubung pelantikan Nazri sejak ia diumumkan awal minggu ini.

Menurut Anwar lagi, dia juga secara peribadi memohon Yang di-Pertuan Agong menangguhkan pengumuman pelantikan duta, yang sepatutnya tahun lepas, kerana memerlukan masa untuk membentuk Kabinet sebelum mengumumkan pelantikan lain.

Anwar juga mempersoalkan kritikan terhadap pelantikan Nazri.

"Apa masalah dia (Nazri) sebagai duta? Orang nak tegur boleh tapi ambillah maklum dulu," katanya.

Pada 9 Feb lepas, Kementerian Luar Negeri mendedahkan bahawa Yang di-Pertuan Agong memperkenan 10 duta, termasuk Nazri, semasa istiadat di Istana Negara.

Pelantikan itu mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai dan ahli politik termasuk ahli parlimen Pakatan Harapan (PH).

Anwar juga mengulas mengenai penafian bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin yang didakwa terlibat dalam pemberian kontrak yang dikatakan ada kaitan dengan menantunya Adlan Berhan.

Ketika mengeluarkan penafian itu, ahli parlimen Pagoh itu berkata percubaan pentadbiran Anwar untuk menyiasatnya berhubung perkara itu adalah cubaan untuk mencemarkan maruah dan keluarganya.

“Jahat atau tidak, tunggu sahaja laporan keluar. Saya tidak fikir ini akan menjadi isu besar jika dakwaan itu tidak benar.

"Matlamat kami adalah untuk menghentikan ini kerana tidak ada menteri yang sepatutnya menjadikan anak atau menantu mereka kaya," tambah Anwar.

Baru-baru ini dilaporkan bahawa SPRM sedang menyiasat perkara itu atas alasan kemungkinan salah guna kuasa dalam Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe).

Muhyiddin menuduh Anwar mengaitkannya dalam skandal itu untuk menutup kekecohan yang menyelubungi anak Anwar, Nurul Izzah yang dilantik sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada perdana menteri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS