Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kerajaan digesa mengenakan moratorium terhadap penahanan orang di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) sementara undang-undang itu disemak semula.

Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy berkata Pakatan Harapan (PH) sebelum ini berjanji untuk mengkaji semula undang-undang "kontroversial" seperti Sosma.

"Kalau satu undang-undang itu jelas kontroversial, kenapa masih digunakan secara meluas? Kita minta KDN (Kementerian Dalam Negeri) segera memberi moratorium untuk Sosma sehingga dikaji semula.

"Sosma hanya prosedur. Tidak boleh didakwa bawah Sosma. Kanun Keseksaan sudah ada, gunalah, biar mahkamah putuskan," kata Sevan dalam sidang media di Sentul, Kuala Lumpur hari ini.

Sejumlah ahli keluarga tahanan Sosma turut hadir pada sidang media hari ini.

Sevan menegaskan bahawa Sosma pada asalnya untuk menangani jenayah yang berkaitan dengan keganasan, tetapi ia kerap digunakan untuk menangkap individu untuk isu lain seperti jenayah terancang dan pembunuhan.

Pada masa sama, peguam T Harpal Singh yang mewakili beberapa tahanan Sosma mencadangkan agar tangkapan berkaitan jenayah terancang boleh dibuat di bawah Seksyen 130 Akta Pertubuhan dan bukannya Sosma sementara menunggu semakan.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution pada Disember tahun lalu berkata dia terbuka untuk mengkaji semula Sosma tetapi tiada rancangan untuk berbuat demikian buat masa ini.

Dia juga mengakui bahawa terdapat beberapa peruntukan di bawah Sosma yang "tidak boleh kekal selama-lamanya".

Sevan dan Harpal menegaskan bahawa antara isu dengan Sosma sekarang ialah jaminan jarang diberikan kepada mereka yang ditahan di bawah akta itu.

Harpal berkata, Sosma membenarkan ikat jamin diberikan dalam keadaan tertentu seperti jika orang itu di bawah umur, wanita atau sakit.

Bagaimanapun, Sevan berkata bahawa terdapat beberapa kes di mana tahanan mempunyai masalah kesihatan namun ditolak ikat jamin selepas mereka didakwa di mahkamah.

Harpal berkata perlu ada definisi yang lebih jelas tentang apa yang dianggap sakit kerana hakim sebelum ini memutuskan bahawa hanya perkara yang mengancam nyawa termasuk dalam kategori itu.

Dia berpendapat, menurut doktor, sakit merujuk kepada sebarang perkara yang memerlukan perhatian profesional daripada pegawai perubatan.

Selain itu, Sevan dan Harpal menegaskan bahawa tarikh mahkamah yang diberikan kepada kes Sosma selalunya sehingga bertahun-tahun, dengan beberapa tahanan menunggu sehingga empat tahun sebelum kes mereka dibicarakan.

Harpal turut mencadangkan penubuhan mahkamah khas bagi mempercepatkan pengendalian kes Sosma.

“Saya pernah mengendalikan kes berkaitan penyeludupan warga asing. Empat tahun enam bulan dia ditahan reman (tanpa ikat jamin).

“Selepas itu, dia dibebaskan oleh mahkamah yang mendapati dia tidak bersalah, tetapi dia sudah dipenjara empat tahun enam bulan.

“Sila semak dan percepatkan (proses semakan) undang-undang untuk membenarkan jaminan,” kata Harpal.

"Jika mahkamah mendapati orang itu bersalah, tetapi mereka telah dipenjarakan selama beberapa tahun... itu jelas adalah penafian hak asasi manusia," kata Sevan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS