Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PBM ajak parti kecil prokerajaan bentuk blok tersendiri
Diterbitkan:  Feb 10, 2023 1:56 PM
Dikemaskini: 5:56 AM

Parti Bangsa Malaysia (PBM) mencadangkan parti-parti kecil dan penyokong kerajaan perpaduan wajar duduk bersama untuk membincangkan kemungkinan menjalin hubungan lebih erat sebagai satu blok.

Presiden PBM Larry Sng berkata dengan keadaan semasa parti-parti yang terbabit perlu berusaha mencari jalan menguatkan keberadaan mereka, serta kekal relevan.

“Parti-parti kecil dan penyokong kerajaan perpaduan seperti PBM, Muda, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang berpangkalan di Sabah dan ahli parlimen bebas yang mesra (kerajaan) harus duduk bersama pada persidangan parlimen yang akan datang ini untuk membincangkan tentang bekerja sebagai sebuah blok.

“Politik adalah tentang permainan nombor dan kami perlu menyatukan kekuatan untuk kekal relevan,” katanya di media sosial semalam.

Pandangan Sng itu dibuat selepas PBM serta parti-parti kecil lain tidak terbabit dalam mesyuarat pemimpin kerajaan perpaduan yang diadakan di Ibu Pejabat Umno di Kuala Lumpur pada 7 Feb lalu.

Mesyuarat itu dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan dihadiri pemimpin kanan BN, PH, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah dan Warisan.

Bagaimanapun PBM, Muda dan KDM tidak dilibatkan dalam pertemuan tersebut.

Sng yang juga bekas pengerusi PKR Sabah ketika dihubungi mengesahkan PBM tidak dijemput untuk menghadiri mesyuarat berkenaan.

Pada 7 Feb, Setiausaha Agung Muda Amir Hariri Abd Hadi berkata parti itu dibiarkan tidak tahu menahu mengenai mesyuarat parti dalam kerajaan di sebalik kedudukan mereka sebagai penyokong PH.

Anwar bagaimanapun kemudian menjelaskan bahawa pertemuan itu dibuat untuk parti-parti yang mengasaskan kerajaan perpaduan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS