Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K’jaan peroleh 54 markah, tahap kepuasan terhadap Anwar 68 peratus
Diterbitkan:  Feb 10, 2023 1:44 PM
Dikemaskini: 7:26 AM

Lebih dua pertiga rakyat memberikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim penarafan positif dalam tinjauan yang dijalankan oleh Merdeka Centre selepas bulan kedua dia menerajui pentadbiran di Putrajaya.

Penarafan itu dicapai atas sokongan 73 peratus masyarakat Cina, 91 peratus etnik India, kira-kira 70 peratus bumiputera di Sabah dan Sarawak, dan 60 peratus lagi kaum Melayu.

Hanya 20 peratus sahaja yang melaporkan rasa tidak puas hati dengan prestasinya.

Tinjauan yang membabitkan 1,209 responden ini juga menyaksikan 54 peratus berpuas hati dengan prestasi baharu kerajaan persekutuan, manakala hanya 25 peratus berkata mereka tidak berpuas hati.

Kerajaan persekutuan memperoleh maklum balas positif daripada 67 peratus etnik India, 65 peratus Cina, 42 peratus Bumiputera bukan Islam, 39 Bumiputera Islam, dan 48 peratus etnik Melayu di seluruh negara.

Pada masa yang sama, menurut Merdeka Centre, bahawa hampir satu perempat daripada responden mengelak daripada memberikan pandangan mereka, atau menunjukkan sikap berhati-hati.

Namun di sebalik itu, ramai juga meluahkan keyakinan mereka seperti yang dinyatakan ini:-

  • Seramai 48 peratus rakyat percaya bahawa negara kini menuju ke arah yang betul, berbanding dengan hanya 20 peratus semasa kajian yang dijalankan pada Oktober 2022.

  • Sebanyak 43 peratus rakyat menyatakan keyakinan tentang ekonomi negara pada tahun akan datang, meningkat daripada 23 peratus pada Oktober 2022.

  • Sejumlah 38 peratus pula optimis tentang prospek kewangan peribadi mereka berbanding 26 peartus semasa kajian pada Oktober 2022.

Tinjauan sepanjang tempoh 26 Disember tahun lalu sehingga 15 Januari ini juga mendapati bahawa majoriti besar, iaitu 79 peratus responden mengalu-alukan keputusan pilihan raya ke-15, tahun lalu.

Sebanyak 83 peratus responden berkata mereka menerima keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-10.

Sebanyak 77 peratus pula percaya bahawa kerajaan perpaduan boleh membawa kestabilan dan keterangkuman dalam politik negara;

Dapatan lain adalah seperti berikut:-

  • 75 peratus menerima keputusan Perikatan Nasional (PN) untuk kekal sebagai pembangkang; dan

  • 66 peratus menerima keputusan Barisan Nasional (BN) untuk menyertai kerajaan perpaduan pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Kajian ini membabitkan 52 peratus penduduk berbangsa Melayu, 29 peratus berbangsa Cina, tujuh peratus India, enam peratus bumiputera Islam dan enam peratus bumiputera bukan Islam, (dari Sabah dan Sarawak). Ia dijalankan melalui perbualan menggunakan talian tetap dan telefon mudah alih.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS