Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syahredzan: Keputusan di luar jangka beri peluang M'sia bergerak ke depan

WAWANCARA | Seperti kebanyakan rakyat Malaysia, Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan juga sedang menyesuaikan diri terhadap perubahan landskap politik negara.

Ahli Parlimen itu kini merupakan sebahagian daripada pemimpin kerajaan persekutuan yang turut merangkumi BN yang pernah menjadi sebuah gabungan politik dominan.

Bagaimanapun, seperti yang diberitahu oleh pemimpin DAP itu kepada Malaysiakini dalam satu wawancara eksklusif, dia melihat keputusan pilihan raya umum ke-15 yang tidak dijangka itu sebagai peluang sebenar bagi Malaysia untuk bergerak ke hadapan daripada kemelut yang dihadapinya sejak sekian lama.

“Ia satu anjakan besar dalam politik kita. Kamu bercakap tentang musuh ketat yang kini bekerjasama. Bagi kami sendiri, kami telah diburuk-burukkan oleh seteru politik kami dan masih diburuk-burukkan hingga kini, tapi sekurang-kurangnya, salah satu seteru politik itu kini bersama kita dalam kerajaan.

"Jadi, serangan semacam itu telah berkurangan dengan ketara.

“Sudah tentu, pada masa yang sama, kami juga melakukan serangan berkali-kali. Malah, jika kamu melihat kempen saya, sebahagian besarnya adalah tentang menghadapi Umno.

"Tetapi sekarang kita mempunyai situasi ini dengan Pakatan Harapan, BN dan lain-lain yang bersekutu dalam kerajaan perpaduan, ia memberi peluang kepada kita untuk menetapkan semula wacana dan rangka kerja politik kita," katanya.

Syahredzan melahirkan harapan bahawa dinamik baru itu akan menyaksikan peralihan daripada politik toksik dan yang memecahbelahkan.

“Sekarang, sekurang-kurangnya, isu bukan lagi sekadar perkauman. Sudah tentu, kita tahu bahawa PN masih melancarkan serangan kaum tetapi kerana kita kini bersama dengan kerajaan persekutuan yang baru, sesetengah serangan terhadap kerajaan ini telah berkurangan.

“Saya rasa ini memberi kita peluang untuk benar-benar bergerak ke hadapan dengan politik berorientasikan dasar, di mana kamu tidak bercakap tentang kaum dan agama tetapi tentang dasar, tentang isu. Dan ia membolehkan lebih banyak interaksi apabila ia melibatkan isu biasa tertentu,” tambahnya.

Dia menegaskan bahawa di kawasannya berlaku peralihan sokongan daripada BN sejak lebih 15 tahun lalu.

“DAP telah menyandang di kawasan ini sejak 2008. Sebelum Bangi, Serdang juga kita pegang. Jadi pengaruh BN telah berkurangan dengan ketara.

“Pendahulu saya sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mereka yang dari kem bertentangan bagi isu-isu tempatan. Jadi sekarang pun kita teruskan dengan pendekatan ini.

“Kita tidak ada isu untuk bekerjasama dengan mereka berhubung isu rakyat, isu kawasan pilihan raya dan sebagainya. Dan mungkin, harapnya kurang politiking di kawasan ini. Dan saya katakan bahawa setakat ini selepas pilihan raya, kita tidak benar-benar melihat isu politik dimainkan di kawasan itu,” kata Syahredzan.

[Baca wawancara penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS