Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Persoal kedaulatan Pulau Pinang - Rayer fail laporan polis ke atas MB Kedah

Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer hari ini membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor kerana mempersoalkan kedaulatan Pulau Pinang.

Menurut Rayer, tindakan Sanusi sebagai ‘sangat melampau’ apabila dia  mempertikaikan kedaulatan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang telah ditubuh dan diiktiraf mengikut perlembagaan persekutuan.

“Dia bukan sahaja mempersoalkan kesahihan perlembagaan persekutuan tetapi juga kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam melantik Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut Pulau Pinang selepas membuat laporan polis berkenaan.

Muhammad Sanusi Md Nor

“Sebagai menteri besar, dia harus bertanggungjawab dan mendapatkan pandangan serta nasihat daripada pakar undang-undang.

“Dia tidak sepatutnya mengkritik dan memberi ucapan (seperti ini) sesuka hati kerana boleh mencetuskan kegusaran di kalangan rakyat Pulau Pinang.”

Katanya, Sanusi juga mesti menarik balik kenyataannya dan memohon maaf atas keceluparannya itu.

Sehubungan itu, wakil rakyat DAP berkenaan menggesa agar polis mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan laporan yang dibuat.

Rayer merujuk kepada video di TikTok yang memaparkan Sanusi  mempersoalkan kedaulatan Pulau Pinang dengan mengatakan bahawa "negeri itu dipajak dari Kedah".

Dalam klip itu, Sanusi membidas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy yang didakwa mengatakan bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai kedaulatan sebaliknya, kedaulatan adalah milik kerajaan persekutuan.

P Ramasamy

“Kepala bapak dia! Setiap negeri yang menyertai persekutuan Malaysia mempunyai kedaulatan sendiri.

“Kedah ada kedaulatan, kita ada sultan. Kita ada kerajaan, undang-undang dan sempadan geografi.

“Inilah entiti yang membentuk kedaulatan negeri Kedah.

“Yang saya saya ragui tentang kedaulatan ialah Pulau Pinang kerana negeri itu dipajak dari Kedah,” dakwanya dalam video itu.

Pada 2021, ahli politik PAS itu pernah membuat dakwaan serupa di DUN Kedah.

Ketika itu, Sanusi dilaporkan sebagai berkata bahawa dia memahami kebimbangan Pulau Pinang terhadap beberapa projek besar yang diumumkan Kedah yang dianggap akan memberi saingan.

Bagaimanapun, Sanusi berkata perlu diingat bahawa "Pulau Pinang adalah  dipajak, dan ia tidak sepatutnya mengganggu atau mengkritik hal ehwal pentadbiran Kedah."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS